Bertapak sejak 25 tahun lalu, ternyata kumpulan Padi masih lagi berbisa dan menjadi antara kumpulan terkenal dari Indonesia yang mempunyai kelompok peminat yang ramai di Malaysia.
Semalam, bersaksikan seramai 2,400 peminat setia mereka, Padi tampil bertenaga mendendangkan lebih 20 buah lagu hits mereka sepanjang 2 jam konsert berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Bayangkanlah tepat jam 8.30 malam, adrenalin konsert kemudiannya diteruskan dengan seleksi lagu-lagu seperti Sesuatu Yang Indah, Ternyata Cinta, Tempat Terakhir serta karya berhantu Padi, Menanti Sebuah Jawaban yang paling ditunggu-tunggu peminat.
Diselang-selikan dengan perbualan bersama peminat, vokalisnya, Fadly menyatakan keterujaannya menyambut ulang tahun ke-25 Padi bersama peminat-peminat di Malaysia yang tidak jemu memberikan sokongan terhadap mereka sejak giat aktif bermula tahun 1997.
“Kami berasa senang dapat kembali ke sini dan bersama-sama kalian meraikan ulang tahun perak (ke-25) Padi di Kuala Lumpur.
“Semoga kami dapat menghiburkan anda berterusan dan terima kasih kerana sentiasa menyokong Padi,” kata Fadly.
Kehangatan konsert kemudiannya diteruskan dengan kemunculan istimewa Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid yang tampil berduet dengan Padi menerusi ‘national anthem’ peminat Padi iaitu Kasih Tak Sampai.
Satu hall gamat apabila peminat sama-sama ‘sing along’ serta menyimbahkan pancaran flashlight di telefon pintar masing-masing bagi menghayati lagu penuh bermakna buat mereka itu.
Selepas Kasih Tak Sampai, Sheila pula membuat ‘permintaan’ untuk Padi menyanyikan bersama lagu-lagu dendangannya seperti Antara Anyer & Jakarta serta Warna, satu paduan yang cukup sempurna!
Persembahan kemudiannya diteruskan dengan lagu-lagu lain seperti Seperti Kekasihku, Rapuh, Lain Dunia, Begitu Indah, Sobat dan Sahabat Selamanya.
Konsert 25 Tahun Padi Reborn dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd.
Padi yang ditubuhkan pada 8 April 1997 dianggotai Fadly selaku vokalis, Piyu (gitaris utama), Ari (gitaris) Rindra (bassist) dan Yoyo (drummer).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.