Hiburan

“Hidup Ini Pendek, Kenapa Nak Stres,” – Saman Bekas Pekerja RM1 Juta, Puteri Sarah Sedia Selesai Cara Baik

Share

Proses mediasi antara pelakon Puteri Sarah Liyana dengan bekas pekerjanya Nazatul Nazira berhubung saman fitnah dan pecah aminah dilanjutkan ke 25 September setelah gagal mencapai kata sepakat.

Peguam yang mewakili Puteri Sarah, Azmi Mohd Rais berkata, pegawai mediasi mencadangkan proses diteruskan ke sesi kedua sebelum kes itu dibawa ke mahkamah.

“Pegawai mediasi mencadangkan beberapa solusi untuk kes pecah amanah diselesaikan tetapi gagal.

“Apa solusi yang dicadangkan semasa proses mediasi tidak boleh didedahkan kerana kita ada sesi kedua.

“Kami bagaimanapun akur dengan arahan pegawai mediasi dan kita akan berjumpa semula seperti tarikh ditetapkan,” katanya yang ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, petang tadi.

Sementara itu, Puteri Sarah pula memaklumkan, dia sudah cuba berbincang serta mencari penyelesaian terbaik sewaktu proses mediasi.

Pegawai berkenaan juga sudah mendengar penjelasan kedua-dua pihak serta memberikan solusi yang terbaik tetapi proses itu gagal.

“Saya rasa kita boleh pertimbangkan solusi dikemukakan dan selesaikan masalah ini dengan tenang, kenapa perlu tertekan?

“Memang saya nak menuntut hak saya tetapi kalau boleh dengan cara yang paling tenang dan terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya

Diminta mengulas kenyataan Nazirah dirinya difitnah dan nekad membawa kes itu ke muka pengadilan berikutan nama baiknya terjejas.

Sarah bagaimanapun tertanya apa fitnah yang dilemparkan terhadap wanita itu.

“Saya fitnah dia? Entahlah kehidupan saya pun terjejas sedangkan itu adalah syarikat milik saya.

“Dia tiada kena mengena kerana rakan kongsi syarikat saya hanyalah Andi Arsyil dari Jakarta,” katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan saman serta tuntutan RM1 juta sebagai ganti rugi terhadap Nazatul Nazira yang didakwa menuduhnya dalam urusan perniagaan sebelum ini.

Menerusi tuntutan kenyataan fitnah dikongsinya di Instagram, terdapat lima bukti kenyataan dibuat sebelum ini antaranya Puteri Sarah dituduh mengambil dadah.

Selain itu, individu terbabit menggelarnya seorang bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama Andy, menganggap sebagai rakan kongsi dan seorang ketua yang suka menganiaya pekerja-pekerja.

Puteri Sarah turut menuntut individu itu menarik semula kenyataan fitnah yang dilemparkan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf