Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar akui segala perbuatan dan tindak tanduknya sebelum ini telah banyak mempengaruhi kehidupannya saat.
Menurut Shuk, dia kini sedia untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Hidup ini satu pilihan ye aku sangat setuju pilihan yang kita buat mempengaruhi apa yang bakal jadi ke depan.
“Doakan aku supaya dapat membuat pilihan yang betul maafkan aku kalau ada salah silap aku,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh bekas pengacara I Can See Your Voice Malaysia itu menerusi hantaran terkini di laman Instagram.
Menerusi hantaran yang dikongsikan itu, Shuk turut memuat naik sekeping foto berada di dalam sebuah masjid dipercayai di Turkiye dalam persinggahannya bersama jemaah lain untuk ke Mekah melakukan ibadah umrah.
Pada masa sama, Shuk atau nama sebenarnya Shukri Mohamed Sahar turut memohon maaf andai dirinya ada menyakiti hati mana-mana pihak sebelum ini.
Dalam pada itu, Shuk mendedahkan dirinya juga sudah bersedia untuk menanggung segala akibat dek kerana perbuatannya yang terdahulu.
“Kalau kita buat salah berani akui salah silap kita hadapi kesan dari salah silap kita dan terus cuba perbaiki salah silap kita. Maafkan aku,” ujarnya lagi.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan semoga segala urusan Shuk di Tanah Suci akan sentiasa dipermudahkan.
“Come back stronger sahabat.
“Aku doakan kau Shuk. Kau orang baik.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segala urusan.
“Satu nak puji Shuk ni, dia berani mengaku silap. Jarang lelaki macam ni. Selalunya menafikan dan ego. Kita semua pendosa. Semoga diberikan kesempatan untuk memperbaiki diri,” antara komen-komen netizen.
Beberapa hari lalu, Shuk akui dirinya rindu untuk kembali aktif di dalam industri hiburan tanah air seperti dulu kala.
Sebelum ini, Shuk pernah terpalit dengan kontroversi melibatkan rumah tangganya selepas dia didakwa beberapa kali menduakan isterinya, Rossalennah Asshaferah dengan wanita lain.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Shuk Sahar