Memohon agar saudara wanita untuk lebih berhati-hati menjalani kehidupan sebagai seorang Muslimah yang baik, kumpulan nasyid, Hijjaz berkongsi bahawa tuntutan Allah SWT adalah yang paling utama untuk dilaksanakan meski dalam apa sahaja pekerjaan.

Ulas Hijjaz lagi, tiada masalah andai seorang wanita ingin menceburi bidang hiburan, namun dengan syarat mampu untuk jaga diri dan maruah.

“Dalam hidup, perkara paling utama adalah memenuhi tuntutan Allah SWT walau dalam apa yang dilakukan termasuk tuntutan mencari nafkah. Apabila sudah termaktub tidak boleh, walau atas apa sekalipun dasarnya, kita harus menolak.

“Contohnya seorang pelakon diminta memegang tangan bukan muhrim, jika menolak dan mungkin akan mengakibatkan dia dibuang…. Terima dan yakin rezeki bukan pengarah yang tentukan.

“Semuanya dari Allah. Situasi yang berlaku adalah satu ujian buat pelakon tersebut. Apakah tindakannya? Jika dia mengikut arahan, itulah ujian baginya.

“Seperti yang termaktub dalam surah Al-Mulk, hidup mati hanyalah ujian. Siapa yang berjaya menempuh ujian ini, InsyaAllah.

“Saya nasihatkan wanita di luar sana, kita kena ada prinsip. Rezeki di tangan Allah,” ulas mereka.

Kumpulan ini ditemui media pada majlis pelancaran single terbaru Hijjaz bersama Tomok berjudul Sumayyah 2019.

Pada masa sama, kumpulan yang dianggotai Munif, Isman, Faizal dan Arifin ini turut mengulas lanjut bagaimana seharusnya seseorang wanita itu digambarkan dalam Islam.

“Malu sebahagian daripada iman. Tiada masalah andai kaum wanita ingin sertai industri hiburan, tapi penjagaannya harus lebih berbanding hal lain.

“Wanita sangat berharga dalam Islam dan disebabkan itu Nabi Muhammad SAW sangat tekankan dan menyebut supaya jaga wanita, isteri, anak perempuan.

“Bila masuk dalam industri, aurat adalah perkara pertama harus dijaga, elakkan wangi-wangian dan bagaimana cara penyampaian. Jadi tiada masalah wanita ingin masuk dalam industri hiburan, namun jika perkara ini dijaga, insyaAllah tiada fitnah akan berlaku.

“Allah berikan wanita sebagai ujian. Seperti lagu Sumayyah, kami mahu jadikan inspirasi untuk wanita. Sumayyah ialah wanita yang dibunuh dan diseksa sampai mati.

“Bagaimanapun dia mati dengan kalimah syahadah. Kami mahu semua wanita jadi seperti Sumayyah.

“Wanita itu harus bersederhana, jika berlebihan akan menjadi fitnah. Cabaran bagi wanita ialah kena jaga diri, jika tidak boleh jangan masuk industri hiburan. Kerana akhir zaman ini, risiko terlalu tinggi,” jelasnya kepada MH.

Dalam perkembangan lain, kumpulan nasyid popular ini bakal melancarkan single Sumayyah 2019 berduet dengan Tomok.

Mengharapkan reaksi positif dari pencinta muzik, single berkenaan akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.