Setelah sekian lama berdiam diri, pelakon, Farid Kamil akhirnya tampil menafikan dakwaan isterinya yang juga merupakan pelakon Diana Danielle yang mengatakan dirinya menjadi punca dia kehilangan cincin perkahwinan.
Menurut Farid, cincin tersebut hilang ketika Diana sedang menjalani proses kelahiran anak kedua mereka, Nur Aurora, 8.
“Sebenarnya, cincin perkahwinan yang saya berikan kepada Diana itu dia yang pakai dan dia juga yang salah letak ketika Aurora dilahirkan di Bangsar menerusi proses ‘water birth’.
“Ketika proses kelahiran tersebut berlangsung, jam dan barang kemas harus dibuka. Jadi, Diana buka dan letakkan di dalam beg. Ketika mahu pulang, cincin tersebut sudah tidak ditemui
“Saya juga cuba mencari dan akibat cincin itu tidak ditemui, dia menangis dan bersedih. Jadi, untuk menghalang dia daripada terus bersedih selepas menyambut kelahiran bayi kedua kami, saya katakan yang cincin itu bukan penting, cincin boleh beli tapi kegembiraan pada masa itu, kita tidak akan boleh beli.
“Saya tak sangka benda itu boleh jadi perkara besar dan saya berjanji, saya akan belikan yang baharu. Alhamdulillah daripa hilang satu cincin, saya sudah menggantikan enam untuk dia,” katanya kepada MH.
Lantaran itu, Farid berharap agar tawaran perdamaian yang dibuat kepada Diana dapat melembutkan hati isterinya itu.
Selain cincin, Farid turut memberikan tawaran berupa sebuah kereka Vellfire, pendahuluan nafkah dan bayaran semula tiket umrah.
Sebelum ini, Farid telah membawa sejambak bunga dan sebentuk cincin untuk diberikan kepada isterinya, Diana Danielle ketika proses pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 28 Mac lalu.
Cincin itu dikatakan hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
Bagaimanapun, Diana ketika ditanya mengenai cincin tersebut berkata ia adalah cincin yang pernah dihilangkan oleh Farid, sejak lapan tahun yang lalu.
Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas menjalani prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, dari jam 11.45 pagi sehingga 1 petang tadi.
Pelakon itu turut ditemani peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan.
Seterusnya, Fakhrul mengesahkan pasangan itu akan menghadiri sulh kedua pada 25 Mei depan berikutan Diana tidak dapat hadir pada prosiding hari ini.
Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI