Sebelum ini nama penyanyi Baby Shima sering kali terpalit dengan kontroversi imej seksi dan menjolok mata.
Terbaharu menerusi perkongsian sebuah video di laman Instagram miliknya, Shima atau Nor Ashima Ramli, 31, tampil sopan ketika menjayakan persembahan di Kuantan, Pahang sempena sambutan Israk & Mikraj pada Sabtu.
Shima menggayakan sepasang baju kurung berwarna jingga selain mengenakan tudung yang menutup dada.
Namun, menerusi posting yang sama juga, Shima turut meluahkan perasan kecewa dengan tanggapan segelintir pihak yang menjangkakan dia mungkin tampil dengan imej kurang sesuai, seolah-olah tidak menghormati hari mulia bagi umat Islam.
“Selesai bergoyang Ya Habibi hari ini. Lain kali datang dulu sebelum berkata-kata.
“Bila saya dapat tahu ada acara dan sambutan Israk dan Mikraj, saya sendiri yang berpenampilan sebegini.
“Tapi ramai pula sebelum tampil, mereka lebih memilih berkata-kata sebelum melihat.
“Sampai ada yang berkata saya tidak menghormati hari mulia ini.
“Padahal mereka belum melihat dulu penampilan yang akan saya mempersembahkan di bulan yang mulia ini.
“Sempena Israk dan Mikraj ini saya tahu menyesuaikan diri dalam majlis tanpa disuruh sesiapa,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikutnya memberikan komen positif berhubung penampilan sopan Shima pada majlis tersebut.
“Kan cantik macam ini, tutup litup sopan dan sejuk mata memandang. Kalau boleh teruskan pakai macam ini.
“Masya Allah cantiknya, suka tengok Shima pakai macam ini.
“Manusia memang suka lihat keburukan orang tanpa melihat terlebih dahulu.
“MasyaAllah cantiknya, moga terus istiqamah.
“Cantiknya Shima pakai tudung labuh, kalau teruskan pakai macam ni pun okay,” komen beberapa netizen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.