Pengacara dan personaliti televisyen, Anim Ezati Rizki mengesahkan dirinya kini berstatus ibu tunggal selepas berpisah sejak awal tahun lalu bersama bekas suaminya, Mohd Fadli Sahudin.
Menurut Anim, 30, hubungan dia dan bekas suami bagaimaanpun masih baik demi membesarkan anak tunggal mereka, Yara Alanna Khalsom, 2.
Tidak mahu menimbulkan sebarang fitnah, hos program Malaysia Hari Ini itu tampil mengulas mengenai perpisahan yang berlaku.
“Jodoh kami sampai di sini saja. Demi mengelakkan sebarang fitnah, saya terpaksa buka cerita perpisahan ini. Kalau boleh, saya tak nak langsung kongsi perkara begini namun saya terpaksa juga.
“Alhamdulillah untuk dua tahun yang Allah izinkan untuk bersama dalam perkahwinan dan hadiah yang paling berharga, anak perempuan kami. Kini, saya dan bekas suami tidak lagi bersama.
“Kami sudah berpisah pada awal tahun ini. Saya terpaksa rahsiakan dulu kerana ingin menghormati banyak pihak termasuk bekas suami sampai semua reda.
“Hak penjagaan anak sepenuhnya kepada saya. Hubungan saya dengan bekas suami dalam keadaan baik. Kami bersama-sama dalam membesarkan Khalsom,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Anim tidak menafikan menempuh fasa sebagai ibu tunggal bukan suatu yang senang.
“Saya tabik hormat kepada semua ibu tunggal di luar sana. Menggalas gelaran sebagai ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah.
“Saya merasai segala pahit manis, cabaran untuk membesarkan anak tetapi saya bersyukur kerana Allah permudahkan dengan pelbagai cara. Terima kasih di atas sokongan kalian dan doa yang dititipkan selama ini.
Imbas kembali, Anim dan Fadli mendirikan rumah tangga pada 28 Disember 2019.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Harian Metro