Berita

“Doktor Kata Ada Kuman Dalam Darah,” – Anak Batuk Sampai ‘Hilang’ Suara & Suhu Lebih 38 Darjah Celcius, Ryan Bakery Pohon Doa Ramai

Share

Pelakon dan pempengaruh popular, Ryan Bakery meminta doa ramai selepas anaknya, Ryan Ezra terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Selangor, pada Jumaat selepas mengalami batuk berkahak dan selesema.

Menurut Ryan atau nama penuhnya Ryan Fahmi Bakery,29, Ryan Ezra yang menunjukkan gejala demam sejak tiga hari lalu turut memaklumkan, ada kuman dalam darah anak sulungnya itu.

“Dia terpaksa ditahan di wad susulan demam dan batuk yang dialami. Beberapa hari sebelum ini dia kurang aktif dan ‘moody’. Dari situ saya sudah boleh jangka yang dia mungkin demam dan bila sentuh badannya, rasa ‘suam’.

“Hidungnya juga mulai berair dan ketika itu saya dan isteri bawanya ke hospital. Lalu nasihat doktor, sekiranya dalam tempoh dua hari dia masih belum baik, bawanya untuk rawatan lanjut.

“Pada keesokan harinya, keadaan anak jadi makin teruk. Dia batuk berkahak, badan panas dan kerap selsema,” katanya.

Bagaimanapun, Ryan memaklumkan semalam anaknya itu sudah makin baik daripada demam biarpun masih lagi batuk dan selesema.

Namun semalam, Ryan dan isteri membuat keputusan membawa anak mereka yang berusia tujuh bulan itu ke hospital selepas suhu badannya mencecah paras lebih 38 darjah celcius.

“Hari ini tiba-tiba dia demam balik selain batuk sampai meragam dan menangis tanpa henti.

“Bila doktor buat pemeriksaan lanjut, didapati ada banyak kahak dalam paru-paru dan dia terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, ada kuman dalam darah anak dan buat masa sekarang doktor beri ubat antibiotik.

“Saya nak minta orang ramai untuk doakan anak moga diberi kesembuhan sihat tubuh badan,” kongsinya lagi.

Berdepan pengalaman cemas, Ryan akui ia pengalaman pertamanya berhadapan dengan situasi sedemikian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak.

“Ini kali pertama berlaku pada saya dan isteri. Sebelum ini anak pernah alami demam namun ia tidaklah seteruk ini. Batuk dan menangisnya tu sampai hilang suara. Kita yang tengok pun rasa lemah.

“Isteri pun turut sama menangis, tak kuat. Mahu tak mahu, saya sebagai suami perlu kuat dan kawal keadaan. Tapi memang risau dan jadi pengajaran juga untuk kami sebab sebenarnya kita tidak boleh beri orang sesuka hati cium anak.

“Selepas ini kami pun kenalah peka dan lebih berhati-hati. Bila ujian sudah nak jadi apa yang boleh kita buat ialah ikhtiar dan beringat,” katanya lagi.

Terdahulu, Ryan turut memuat naik video dirinya yang dirakam sedang memangku anaknya yang sedang menangis di sebuah pusat perubatan.

“Baru aku rasa macam mana mak ayah bila anak dia tak sihat. Tidur tak cukup, risau, takut, panik dan semualah. Dalam keadaan macam ni, suamilah main peranan penting. Kena kuat,” tulisnya pada entri berkenaan.

Untuk info, Ryan mendirikan rumah tangga dengan Elyia Ibrahim pada 1 Oktober 2022 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ryan Ezra yang dilahirkan pada 30 Disember tahun lalu.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH