“Hulur Dana Anggaran RM1.2 Juta, Insya-Allah,” – Niat Murni Aeril-Wawa, Guna Keuntungan Jualan Kosmetik Bina Masjid

Share

Pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal bakal membina sebuah masjid dengan berkapasiti 700 orang di kampung halaman pelakon lekaki terbabit di Kampung Rengit, Johor.

Projek pembinaan masjid itu akan dimulakan awal tahun hadapan.

Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari,33, dia dan isteri sepakat untuk menggunakan duit keuntungan produk terbaru keluaran syarikat kosmetik milik mereka, Wawa Cosmetics iaitu Muslim Bukhari bagi tujuan murni itu.

“Idea ini datang daripada Wawa yang mendengar ceramah Ustaz Abdul Somad tentang andai ingin menempa nama di syurga, jika mempunyai wang lebih maka binalah masjid.

“Jadi, saya sudah berbincang dengan ketua kampung kawasan tersebut dan insya-Allah telah bersetuju untuk menghulur dana dalam anggaran RM1.2 juta ringgit hasil keuntungan produk Muslim Bukhari,” jelasnya.

Pasangan itu berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Muslim Bukhari di Pusat Konvensen SACC, Shah Alam, pada Sabtu.

Tambah pelakon Cari Aku Di Syurga itu lagi, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menunjuk atau riak, sebaliknya hanya sekadar berkongsi peluang dengan peminat untuk sama-sama mengumpul saham akhirat.

“Setiap orang yang membeli set produk Muslim Bukhari ini adalah penyumbang kepada dana masjid ini dan bukan hanya pada nama saya atau Wawa sahaja.

“Produk ini hanya dikeluarkan sebanyak 80,000 ribu unit dan tiada sebarang penambahan stok sebaik sahaja habis dijual,” jelasnya lagi.

Edisi kosmetik Muslim Bukhari yang sudah pun dijual bermula hari ini mengandungi dua pengilat bibir, set mekap dan wangian untuk harga RM79 satu set.

Terharu atas reaksi positif yang diterima meski baru dilancarkan, Aeril dan Wawa berharap agar produk terbaru ini turut menerima sambutan sebagaimana koleksi kosmetik mereka sebelum ini.

Published by
Rafiq Mazlan