Selebriti terkenal, Nur Fazura akui amat berbesar hati apabila berkesempatan untuk menghadiri program Santai Bersama Anwar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Jakarta pada Isnin.
Menurut Fazura, program tersebut dihadiri oleh para penggiat seni dan pempengaruh terkemuka Indonesia untuk berkongsi pandangan tentang budaya dan lanskap seni kedua-dia buah negara.
Turut hadir bersama di program berkenaan adalah Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, YB Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
“Alhamdulillah, semalam Faz telah berpeluang menyertai para seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia dalam Program ‘Santai Bersama Anwar’ di Jakarta, Indonesia.
“YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah sudi menyantuni kami semua dengan mesra, serta memberikan pelbagai pandangan berkaitan budaya dan landskap seni kedua-dua negara.
“Suasana yang sangat menyenangkan dan banyak yang Faz pelajari. YAB Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43,” tulisnya di Instagram.
Sementara itu, menerusi sebuah video yang tular di aplikasi Tik Tok, Fazura yang turut dilihat hadir ke sebuah lagi program iaitu Temu Anwar turut berpeluang bertanyakan kepada Perdana Menteri tentang sumber kekuatannya ketika di dalam penjara.
“Datuk Seri, saya daripada semalam nak bertanya tapi baru hari ini berkesempatan. Soalan saya ini mungkin ramai yang boleh relate dan ramai nak tanya.
“Sewaktu Datuk Seri dalam penjara, apakah yang membutkan Datuk Seri kuat dan mungkin boleh beri nasihat kepada anak-anak muda bagaimana mereka boleh kekal semangat untuk menghadapi apa sahaja ujian dalam hidup,” soalnya.
Jawab Anwar, sewaktu di dalam penjara, dia mahu sentiasa kelihatan kuat agar keluarganya tidak berasa sedih.
“Apa yang membuatkan saya bertahan adalah kerana keyakinan saya. Saya minta maaf, ia bukan nak menunjukkan saya hebat. Tidak. Saya cuma nak ceritakan pengalaman peribadi.
“Saya juga memikirkan tentang Azizah dan anak-anak di luar tapi saya mahu terus kuat dan sihat dan bila berdepan mereka, saya tidak mahu menunjukkan kesedihan.
“Setiap kali bertemu mereka, saya akan baca doa dan tanya hafalan Al-Quran mereka. Biar anak-anak gembira,” katanya.
Katanya lagi, dia juga memenuhi waktunya dengan membaca sebagai persediaan untuk melawan korupsi sebaik sahaja keluar daripada penjara.
“Saya mahu bawa perubahan kerana saya lawan korupsi dan mahu menegakkan keadilan. Ini bukan hal yang mudah. Bodoh kalau saya kata lawan korupsi ini mudah.
“Korupsi ini merupakan satu hal yang sistemik dan ia melibatkan keseluruhan febrik kerajaan dan masyarakat. Ia memerlukan keberanian dan usaha yang tinggi untuk ubah sistem tersebut.
“Dan kita juga akan berhadapan dengan seluruh sistem terutamanya yang korup dan tak senang dengan perubahan. Mereka akan buat apa sahaja untuk menghalang dan mereka yang mengawal semua.
“Oleh itu, saya sabar, bina kekuatan kuatkan akal dan jaga disiplin. Saya baca buku sebanyak mungkin. Saya mahu persiapkan diri untuk menguasai ilmu dalam pelbagai bidang.
“Jadi, bila keluar, saya dapat terus bertempur dari segi idea,” akhrinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Nur Fazura & Tik Tok Zainiumaraliff.paliss
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI