Terdahulu, kecoh di laman media sosial apabila netizen memberi kritikan terhadap pemakaian penyanyi, Stacy ketika beraksi di pentas Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian yang ke-32 (ABPBH32) lalu.
Meski bintang asal Sabah itu sudah memberikan kenyataan mengenai perkara tersebut, namun masih ada yang seakan-akan masih bercakap mengenainya.
Relak dan profesional, Stacy bagaimanapun tidak menafikan dirinya berasa sedikit kecewa dan sedih atas apa yang telah berlaku namun dia bersyukur apabila suaminya, Akim Ahmad tetap memberi semangat terhadap dirinya.
“Insiden ni dia bagi saya rasa sangat down sebab kita dah ada suami. Jadi bila terjadinya perkara ni saya rasa sakit sikitlah.
“Tapi nasib baik, saya bersyukur sangat-sangat sebab suami dan keluarga suami sangat memahami.
“Tambahan pula, mereka lebih kenal Stacy dengan lebih dekat jadi mereka tahu apa yang Stacy sengaja ataupun tidak sengaja.
“Bagi Stacy, yang penting ada keluarga Stacy orang lain nak percaya atau tidak, terpulang,” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi ini ketika ditemui di sidang media program realiti nyanyian Mentor Milenia yang berlangsung di Hilton Hotel, Petaling Jaya, pada Selasa.
Stacy menghela nafas lega apabila suaminya sentiasa bersikap positif dengan setiap perkara yang berlaku.
“Sebenarnya selepas kejadian itu berlaku, saya terkejut bila tengok ramai yang marah pada saya. Kemudian, saya ada tunjuk komen-komen netizen kepada Akim.
“Saya sebenarnya takut tengok dia, saya bukan takut kena kecam ke apa. Saya takut kalau Akim marahkan saya.
“Tapi syukur Akim okey, dia kata biarlah apa pun yang nak jadi janji I tahu isteri I macam mana,” kongsi Stacy bersama MH.
Sekadar informasi, Stacy bakal muncul bersama rakan penyanyi Black, Akim Ahmad, Hazama dan Ernie Zakri untuk program Mentor Milenia musim ketiga bermula 6 Oktober depan, jam 9.00 malam di TV3.