Perkongsian yang sarat dengan rasa, Bella Astillah sewaktu ditemui MH mengakui dia ada bertemu bekas suami, Aliff Aziz.
Bagaimanapun apa yang berlaku adalah di di luar perancangannya.
Tambah Bella, dia ke Singapura adalah bagi memenuhi tuntutan kerja bersama Zizan Razak, dan atas sebab itu, dia turut sama membawa anak dan keluarga.
Dia turut menegaskan, perjumpaannya dengan Aliff bukannya secara berduaan, sebaliknya ditemani Aidan dan ahli keluarga lainnya.
“Beri komen salah, tak beri komen pun salah. Saya faham ramai yang tertanya-tanya, ramai yang membuat spekulasi yang tidak betul, tetapi apa yang boleh saya kongsikan di sini, saya ke Singapura kerana ada sesi meet and greet bersama Zizan Razak.
“Dan apabila lokasi pertemuan itu di Singapura, saya terfikir mengapa tidak saya bawa keluarga bersama. Saya boleh membawa Ayden berjumpa Aliff di sana. Semuanya secara kebetulan, bukannya dirancang.
“Walau apa pun alasan yang diberi, tetap akan ada pihak yang tidak dapat menerimanya. Semua ada hak dan pandangan masing-masing, saya tidak marah,” jelasnya.
Tambah ibu kepada seorang anak ini lagi, tidak pernah terniat di hati untuk sengaja mencipta kontroversi. Sebaliknya apa yang dilakukan untuk kebaikan si anak.
“Jika mereka katakan saya sengaja mencipta kontroversi, terpulang. Jika benar saya sengaja buat begitu, sudah tentulah mama dan ayah sudah menegur terlebih dahulu.
"Mereka penyokong utama dan sentiasa memantau perkembangan saya.
“Saya tahu niat diri sendiri dan hanya saya tahu mengapa. Kalau buat perkara yang tidak baik, sudah tentu Allah tidak suka dan hanya akan mengundang perkara yang tidak baik. Saya buat yang terbaik untuk Aidan.
“Selagi apa yang dibuat mengikut niat, syukur keluarga boleh menerimanya. Jika salah di mata netizen, saya minta maaf.
“Mungkin ramai yang berangggapan kami keluar berdua, tidak. Saya bersama anak dan keluarga. Saya selalu berpesan kepada diri jangan menghukum kerana ia hanya akan mendatangkan spekulasi dan fitnah.
"Jadi jika kita tidak tahu apa-apa, lebih baik berdiam diri dan mendoakan yang terbaik,” katanya lagi.
Luluh hati si ibu melihat anak terpaksa berpisah dengan ayah kandung, namun surat tertulis jodoh hanya sekerat jalan. Jelas Bella, Ayden menangis dan meraung sewaktu berapa di lapangan terbang untuk pulang kerana mahukan bapanya.
“Ayden sangat gembira sehingga sewaktu tiba di lapangan terbang, dia asyik menangis dan menyebut ‘I want Daddy.’ Saya sedih melihatnya dan harap semua doakan yang terbaik.
"Kita manusia hanya boleh merancang, namun Allah yang menentukan takdir kita. Apa-apa pun saya terima dengan hati terbuka,” tuturnya penuh mengharap kebaikan bagi kedua-dua belah pihak.
Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun. Pasangan ini kemudian bercerai pada 16 Mei 2019.