Perkongsian terbaru di laman Instagram The Family UK nyata menyentuh perasaan apabila Fatimah difahamkan telah diserang Anxiety.
Dikatakan, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi.
Malah, setiap kata yang diluahkan anak kecil ini seperti menggambarkan kesedihan yang bersarang dalam hatinya.
Menurut si ibu, pada mulanya dia menyangka Fatimah mendapat mimpi buruk.
Namun dia sedar ada sesuatu yang tidak kena apabila Fatimah mula berdiam diri dan seakan-akan sukar bernafas.
Apa yang menyedihkan, Fatimah turut merindui arwah Adam Didam dan ketakutan apabila Athisha pulang ke Malaysia dan tidak akan kembali lagi bersama mereka.
“ANXIETY ATTACK
“Semalam, Fatiman mendapat serangan anxiety pada pukul 4 pagi. Pada mulanya saya menyangka dia hanya mempunyai mimpi buruk, jadi saya minta dia tidur kembali.
“Dia berdiam diri dan tidak mahu bercakap. Selepas beberapa minit, dia mula bernafas dengan kuat. Dan pada waktu itu saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Saya tenangkan diri dahulu jika tidak keadaan akan jadi lebih teruk.
“Jadi saya dekatkan diri dan mintanya bertenang. Fatimah mula menangis.
“Saya mahu Mamajee. Saya takut. Kakak Athisha akan pergi dan tidak akan pulang seperti Mamajee,” kata Fatimah.
“Pada waktu ini saya sedar, punca serangan anxiety kerana kepulangan Athisha ke Malaysia sempena sambutan Krismas. Perpisahan menyebabkannya diserang panik. Dia tidak mahu ke sekolah, menolak sarapan pagi dan sering menangis.
“Namun syukur kami punya lebihan lasagne, makanan kegemarannya. Selepas makan tengahari, suami membawa Fatimah keluar membeli belah untuk menghirup udara segar.
“Alhamdulillah, dia bertambah baik dan bersedia untuk ke sekolah,” kongsinya.
Menurutnya, serangan ini bukan hanya terjadi kepada orang dewasa, kanak-kanak juga tidak terkecuali.
“Saya kongsikan isu ini untuk semua ibu bapa di luar sana. Anxiety itu wujud, bukan sahaja di kalangan orang dewasa, namun juga kanak-kanak.
“Ia bukan petanda kita lemah, malah bukan untuk mencari perhatian. Ia adalah proses normal kesedihan. Tolong jangan biarkan emosi anak-anak terabai.
“Jika anda melalui proses yang sama, ketahuilah anda tidak keseorangan. Terus bertahan. Kuatkan diri. Jika ia bertambah parah, tolong dapatkan rawatan profesional.
“Terima kasih Athisha kerana mengangkat telefon pada tengah malam dan maaf kerana membuat kamu risau.
“Tolong jangan fikir berlebihan kerana Fatimah sudah ok. Selamat bercuti dan jumpa lagi selepas tahun baru,” tulisnya panjang lebar.
Perkongsian ini meruntun hati netizen yang turut sebak dengan luahan hati Fatimah.
Terdahulu, chef selebriti, Adam Mahamed Ismail, 29, atau lebih dikenali sebagai Adamdidam meninggal dunia di rumah ibu bapanya di Kota Bharu akibat jangkitan paru-paru, 19 Mei lalu.
Foto : Instagram Family UK