Ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memberikan pujian tinggi apabila menyifatkan pemain orkestra Malaysia yang bakal mengiringi konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia malam ini jauh lebih baik berbanding Indonesia.
Menurut Dhani, antara faktor yang mendorong kejayaan tersebut adalah kerana kumpulan orkestra Malaysia mempunyai gabungan dan kepakaran daripada pemuzik-pumuzik antarabangsa.
“Saya sudah mendengar sesi latihannya. Sebagai ahli muzik, rasanya kumpulan orkestra di Malaysia lebih bagus daripada Indonesia walaupun saya hanya mendengar daripada video.
“Mungkin disebabkan orkestra di Malaysia mempunyai pemain muzik daripada negara luar. Kalau di Indonesia, pemain orkestranya semua orang tempatan.
“Lagipun, muzik orkestra ini bukan budaya kita kerana ia merupakan budaya barat. Mereka lebih berkualiti. Sama seperti mengaji. Sudah tentu orang Arab lebih fasih daripada kita,” katanya kepada MH.
Dhani berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media dan sesi latihan konsert tersebut di Axiata Arena, malam tadi.
Katanya lagi, industri muzik orkestra di negara kelahirannya itu masih baharu dan dia berharap agar mereka akan turut dibiayai sama seperti di Malaysia.
“Semakin berusia, kita perlukan bunyi-bunyian muzik yang mahal. Muzik orkestra ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi juga merupakan makanan jiwa.
“Pada mulanya, tiada siapa pun yang yakin dengan gabungan diantara Dewa 19 dan kumpulan orkestra ini. Kami hanya ingin membawa satu budaya baharu.
“Menonton persembahan orkestra juga merupakan budaya yang masih baharu di negara saya. Malah, di Indonesia, kami belum ada kumpulan orkestra yang dibiayai oleh negara seperti di Malaysia.
“Mungkin pada tahun 2024, baru akan dibiayai,” ujarnya lagi.
Ditanya adakah semangat Dewa 19 akan berkurang memandangkan konsert ini memerlukan penontonnya lebih tertib, Dhani mendedahkan muzik Dewa 19 sememangnya memerlukan keseriusan untuk menikmatinya.
“Saya tak pernah risau mengenai penonton yang mahu bergoyang atau hanya duduk diam. Malah, saya tak kecewa pun kalau mereka hanya berdiam diri kerana muzik Dewa 19 ini perlukan keseriusan juga.
“Kalau anda pernah menonton konsert band rock, Genesis, walaupun penonton mereka berdiri tapi mereka tak bergoyang. Namun, tak bererti mereka tidak menikmati.
“Justeru, mereka menikmati dengan tidak bergoyang kerana muzik Genesis agak rumit. Sama seperti Dewa 19. Ada beberapa lagu yang kita perlu bergoyang kerana ada unsur hiburan.
“Ada persembahan juga yang kita perlu fokus. Saya akui, bermain bersama 54 orang pemain orkestra ini tidak mudah. Malah, menonton orkestra juga ada etika dan adabnya. Tak boleh bising,” akhirinya.
Terdahulu, Dewa 19 akan menyampaikan 34 lagu pada konsert yang diiringi oleh 54 pemuzik orkestra Malaysia pada Jumaat.
Kali terakhir Dewa 19 mengadakan konsert di Malaysia menerusi Konsert 30 Years of Dewa 19 pada September, tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Ahmad Dhani