Hiburan

“Ia Jauh Lebih Bernilai Daripada Kontrak…”- Zahnita Tolak Tawaran RM150,000 Jadi Model. Mahu Fokus Bisnes Dan Anak-Anak

Share

Pelakon & model, Zahnita Wilson mendedahkan dirinya terpaksa menolak beberapa tawaran daripada jenama terkenal yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Meskipun tawaran tersebut lumayan, Zahnita memaklumkan dia hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk membesarkan anak-anak dan menguruskan bisnes pai miliknya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh pelakon filem Kuliah Cinta itu menerusi temu bual bersama portal Mingguan Wanita yang dikongsikan di laman Instagram.

“Saya terpaksa menolak dengan cara yang baik meskipun tawaran tersebut melibatkan jumlah wang ringgit yang sangat besar. Ketika ini, saya hanya mahu memberikan fokus kepada anak-anak dan bisnes.

“Pada saya, dua perkara ini jauh lebih bernilai daripada sebarang kontrak yang diberikan kepada saya.

“Saya mendapat tawaran tersebut malam tadi. Kini, saya terpaksa memanggil kawan baik saya untuk menjadi pengurus. Dia yang akan menguruskan segala panggilan telefon.

“Salah satu tawaran yang saya terima adalah daripada Jakel tapi minta maaf, saya terpaksa tolak,” katanya seperti yang dipetik.

Katanya lagi, dia hanya akan menerima tawaran sekiranya ia mampu memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya buat golongan wanita.

“Memang ada yang menjemput saya. Kalau ia boleh membantu para wanita, masyarakat, dan komuniti, saya akan datang dan bantu.

“Namun, dari segi modeling dan segala tawaran-tawaran lain, buat masa sekarang, saya okay sahaja.

“Saya hanya ingin menjadi diri sendiri seperti biasa. Saya hanya akan gunakan platform media sosial untuk mempromosikan bisnes,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zahnita turut memanjatkan rasa syukur apabila bisnies pai miliknya mendapat dapat sambutan yang sangat hebat daripada masyarakat.

Malah, ibu kepada empat orang cahaya mata ini turut menyifatkan segala ujian yang berlaku terhadap dirinya saat ini mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Saya memang ada sasaran. Pada bulan ini, saya ingin membuat 3000 biji pai. Insya-Allah, menjelang tahun hadapan, ia mungkin boleh mencecah 100’000 biji.

“Semasa saya memulakan bisnes ini, saya minta kepada Allah untuk tunjukkan jalan dan saya niat kepada Allah, saya mahu menghantar sejuta pai ke Palestin.

“Pada saya, sebab inilah perkara yang menimpa saya ini berlaku. Niat itu merupakan satu hal yang sangat kuat,” akhirinya.

Sebelum ini Zahnita mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Melalui media sosial, ibu empat anak itu berkongsi gambar dengan kesan lebam di wajahnya, sambil menjelaskan bahawa itu adalah punca beliau sering memakai kaca mata hitam dalam acara awam.

Berikutan itu, laporan polis dibuat mangsa pada 27 November lalu dan suaminya ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.

Dia turut memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Mingguan Wanita & Zahnita Wilson

Published by
Aizam Manaf