Tidak mahu netizen terus berteka-teki, Raja Ilya menjelaskan pernikahan di Perth Australia lebih sembilan bulan lalu adalah melibatkan soal peribadi.
Tegasnya, bukan mudah buat keluarga pihak lelaki untuk menerima status baru suaminya.
“Dipendekkan cerita ia mengenai isu keluarga dan atas sebab itu kami mengambil keputusan berkahwin di Australia.
“Tidak semua orang boleh menerima apabila seseorang itu menukar agama dan tidak semua yang bersetuju.
“Ia melibatkan keluarga di sebelah suami saya,” jelasnya ketika ditemui di majlis resepsi pasangan ini di Star Avenue Lifestyle Mall, pada Khamis.
Ulas pelakon Appalam ini lagi, kelewatan majlis resepsi yang berselang kira-kira sembilan bulan selepas akad nikah adalah disebabkan kekangan masa.
Malah, kelewatan tersebut juga bukanlah disebabkan oleh isu tajaan sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini.
“Kami mengambil masa sembilan bulan untuk adakan resepsi kerana tekanan masa. Saya sangat sibuk dengan jadual lakonan dan hanya ini sahaja masa yang ada.
“Saya juga mengambil masa dalam usaha untuk kuruskan badan sempena resepsi, saya mahukan yang terbaik untuk momen bersejarah ini.
“Mengenai isu tajaan seperti yang ditanya, saya tidak tahu menahu mengenai hal itu.
“Perkara tersebut tular dalam sehari dan selepas itu saya tidak tahu akan apa perkembangannya dan kami tiada kerjasama dengan mana-mana pihak mengenai bulan madu,” jelasnya lagi kepada MH.
Sementara itu, Raja Ilya yang tampil bak Cinderella pada majlis resepsi turut berkongsi jumlah tajaan kira-kira RM10 juta.
Ia termasuk dua majlis yang dilangsungkan di Kuala Lumpur dan terang Ilya, dia sendiri tidak menyangka ramai pihak yang tampil menyatakan kesudian untuk bekerjasama.
“Saya sendiri baru tahu jumlah sebenar kedua-dua majlis adalah sekitar RM10 juta.
“Jujurnya, ini pertama kali dalam hidup saya mendapat tajaan sebanyak ini. Terima kasih buat semua yang sudi menaja majlis resepsi dan berinai kami.
“Saya sendiri terharu menerima banyak tajaan dan ini pertama kali dalam hidup,” tuturnya mendedahkan perhiasan Habib Jewel yang dipakai bernilai RM2.2 juta.
Pada masa sama, aktres berusia 34 tahun ini turut mengakui belum terfikir soal anak memandangkan fokusnya kini lebih terarah kepada kerjaya dan suami terlebih dahulu.
“Kami percaya pada rezeki, cuma masa ini kami tiada perancangan lagi. Ditambah dengan susunan jadual yang sangat padat.
“Lagipun kami ada juga mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan yang sudah pun mempunyai anak,” katanya yang akan berbulan madu di Langkawi bersama kedua-dua belah keluarga selepas ini.
Ilya dan Trent Garrett berkahwin pada 23 Disember lalu dalam sebuah majlis ringkas di Perth, Australia.
Pasangan itu telah berkenalan sejak enam tahun lalu.