Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November ini, sosial media dilihat menjadi salah satu medium penting untuk parti-parti politik berkempen.
Malah, ada juga sesetengah kempen dilihat turut melibat para pempengaruh atau selebriti media sosial.
Berbeza pula bagi pelakon dan pempengaruh, Sharifah Rose, dia memaklumkan lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka mengenai pilihannya di PRU15 nanti.
Jelas Rose, sebagai individu yang mempunyai pengaruh besar di media sosial, dia akan sentiasa bertanggungjawab untuk segala konten-kontennya.
“Buat masa sekarang, saya tiada menerima sebarang tawaran untuk menjalankan kempen berkaitan politik di media sosial.
“Malah, saya juga merasakan diri saya belum cukup ilmu untuk mempengaruhi orang luar berkenaan kempen-kempen politik.
“Bagi saya, biarlah saya menuntut ilmu untuk diri sendiri dahulu. Saya tak mahu nanti kita bercakap perkara yang sembarangan tanpa menyemak fakta dan menyampai maklumat salah kepada masyarakat.
“Apa-apa keputusan berkaitan parti mana yang akan saya undi, biarlah saya simpan untuk diri sendiri. Ia merupakan privasi saya. Jadi, saya lebih selesa sebegini,” katanya kepada MH.
Rose berkata sedemikian ketika ditemui selepas tamat forum ‘Antara Cantik dan Bakat : Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.
Tambah pelakon drama Kekasih Hari Mr. Bodyguard ini lagi, sebagai pengundi kali pertama, dia sememangnya teruja untuk turun mengundi pada hari Sabtu ini.
“Ini merupakan kali pertama saya mengundi. Saya agak teruja dan pada masa sama gementar juga sebab saya belum pernah merasai segala proses pengundian pilihan raya.
“Banyak juga perkara yang harus saya ambil tahu menjelang PRU15 ini. Sebelum ini, saya pernah belajar tentang pilihan raya di sekolah.
“Jadi, saya akan buat ulangkaji semula dan cari tahu sendiri tentang menifesto-menifesto setiap parti. Segalanya di hujung jari je sekarang ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Rose yang bakal mengundi di Shah Alam turut berharap agar calon-calon yang bertanding nanti dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebaiknya.
“Sudah tentu saya ingin mencari calon yang boleh memberi khidmat yang bagus terutama buat anak muda dan seluruh kawasan Selangor.
“Kawasan perumah saya juga kerap mengalami banjir dan saya harap mereka boleh menyelesaikan tentang permasalahan ini.
“Jadi, saya harap sangat anak-anak muda di luar sana supaya menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada tahun ini,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.