“Ia Sekadar Luahan Hati,” – Mencuba Ke Semi Final Muzik-Muzik, Ini Respon Sufian Suhaimi

Share

Apabila bercakap mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL), para pencinta muzik pastinya mengingati persembahan penyanyi, Sufian Suhami mempersembahkan lagu hitsnya, Dimatamu.

Menjadi buah mulut ramai pada ketika itu, lagu persembahannya turut diangkat sebagai Persembahan Tebaik di acara muzik tahunan berprestij itu.

Tahun ini, Sufian sekali lagi berpeluang untuk bersaing di AJL apabila Mencuba turut direkodkan sebagai antara 30 buah lagu yang terpilih mara ke separuh akhir Muzik-Muzik ke-34.

Berkongsi lanjut megenai perkara itu, bintang berusia 27 tahun ini menjelaskan, dia berasa terkejut apabila sekali lagi tercalon tahun ini.

“Sejujurnya saya berasa agak terkejut dengan keputusan juri apabila lagu tersebut tersenarai dalam pencalonan separuh akhir Muzik-Muzik.

“Bagi saya ketika saya menulis lagu Mencuba ini, ia sekadar luahan hati dan saya tak meletakkan harapan yang setinggi gunung untuk Mencuba.

“Apa-apa pun saya gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh TV3 dan barisan juri.

“Tak lupa juga terima kasih kepada pengundi yang meletakkan lagu Mencuba ini di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-34,” katanya kepada MH.

Terdahulu, Sufian ditemui di sidang media separuh akhir Muzik-Muzik ke-34 yang berlangsung di Theatrette, Balai Berita NSTP, Bangsar, pada Rabu.


Foto : Instagram Sufian Suhaimi, TV3 Malaysia

Published by
Nazar Rafiqhi