“Biasalah akan ada yang suka dan tidak. Bagi saya, saya suka.”
Demikian kata penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat sebagai mengulas pendapat segelintir pihak yang berpendapat lagu baharunya, Memerang tidak sesuai dengan usia dan statusnya sebagai isteri serta ibu kepada dua orang anak.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, bagaimanapun terbuka dengan kritikan dan mengakui dalam yang suka, pasti akan ada yang sebaliknya.
“Kalau nak kata lagu yang lebih matang, saya sudah pun lancarkan karya sedemikian sebelum ini
. Bila kita keluarkan lagu yang ‘matang’, akaj ada yang tanya bila nak lancarkan lagu rancak macam Temberang dan Pencuri Hati?“Atau pun contohnya, ada yang kata saya sesuai bawa lagu yang berentak rancak sahaja. Kita pun keluarkanlah lagu yang ada ‘vibe’ yang sama.
“Jadi kalau ada pula yang kata saya sudah boleh buat lagu yang bersesuaian dengan usia yang sudah ada anak dua, bagi saya itu suatu perkara yang subjektif,” katanya.
Ayda berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Pelancaran Lagu Memerang di SkyWorlds Genting, Genting Highlands, baru-baru ini.
Memerang yang dicipta oleh Ezra Kong, ialah sebuah lagu percintaan yang mengisahkan mengenai seseorang yang licik dalam percintaan dan pandai memerangkap sesiapa sahaja melihatnya.
Ditanya mengenai sejauh mana harapannya terhadap penerimaan pendengar terhadap Memerang, Ayda percaya rezeki.
“Sudah tentulah harapan saya tinggi, perlu ‘kalahkan’ lagu Temberang atau Pencuri Hati. Tapi itu semua rezeki. Kalau kata lagu ini boleh viral, alhamdulillah. Kalau tidak, rezeki mungkin ada pada lagu lain.
“Sebab apa yang penting, saya dapat berikan apa yang peminat saya mahukan. Itu lebih utama. Malah bila selesai sahaja pelancaran ini, saya rasa sangat lega,” katanya lagi.
Dalam pada itu, muzik video lagu berkenaan turut menampilkan pempengaruh seperti Kasih Iris Leon, Ceddy dan selebriti Indonesia, Prince Gabriel di samping bintang senior, Liza Abdullah dan anak sulung Ayda, Ana Nayla.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini