Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek mengenang kembali detik cemas sewaktu menyelamatkan aktres, Maya Karin yang hampir lemas sewaktu penggambaran filem Duyung 16 tahun yang lalu.
Menurut Saiful, insiden tersebut masih segar diingatan dan masih terngiang-ngiang sehingga hari ini.
“Ketika kejadian, hanya Maya yang terlibat untuk penggambaran babak terakhir. Pada hari itu, kebetulan saya pergi menyelam berdekatan kawasan set untuk menghabiskan baki tangki oksigen.
“Ketika menyelam, saya ternampak Maya bergelut di bawah pulau buatan. Rupa-rupanya klip dan rambut palsu Maya tersangkut di jaring dan pihak produksi tak nampak kerana keadaan gelap.
“Jadi, saya yang berada di dalam laut terus selamatkan Maya. Lima minit di dalam laut itu jangka masa yang lama. Maya pula tidak menggunakan tangki oksigen dan berenang dengan memakai ekor duyung,” katanya kepada MH.
Anggota kumpulan Senario itu berkongsi kisah tersebut ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman barisan pelakon filem ‘Duyung: Lagenda Aurora’ yang diadakan di The Wetland Studio Putrajaya, pada Selasa.
Katanya lagi, dia juga terkejut apabila mengetahui Maya bersetuju untuk kembali melakonkan watak duyung selepas apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Ini perkara yang tak pernah saya dedahkan. Ia trauma buat saya dan Maya. Saya juga agak terkejut bila Maya bersetuju untuk kembali berlakon sebagai Duyung.
“Kalau ia terjadi kepada saya, saya akan fobia,” kongsinya lagi.
Mengulas mengenai projek sekuel ini, Saiful akui agak gemuruh lebih-lebih lagi untuk memenuhi ekspektasi peminat.
“Kebiasaannya sekuel dibuat dalam jangka masa yang rapat. Ada filem yang sesuai untuk dibuat sekuel dan ada juga filem yang tak boleh bersambung. Ia berkemungkinan gagal dan mencalarkan reputasi filem asal.
“Pada mulanya, saya risaukan jalan cerita. Namun, pihak produksi memberi peluang buat saya untuk meberikan input supaya timeline filem ini sesuai.
“Pada masa sama, saya juga tidak kisah jika peranan saya kecil. Pada saya, untuk menghidupkan francais ini juga bukan mudah dan perlu pengorbanan. Jadi, saya faham,” akhirinya.
Selain Saiful, filem ini turut mengembalikan barisan pelakon-pelakon asal seperti Maya Karin, Yasmin Hani dan Yassin.
Malah, beberapa pelakon baharu turut diperkenalkan seperti Ayien Floor 88, Anna Jobling, Nadia Brian, Atu Zero dan Syarif Zero.
Duyung: Lagenda Aurora bakal memulakan penggambaran pada 13 September sehingga Oktober ini.
Filem ini dijadualkan akan ditayangkan pada suku ketiga 2025.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.