Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin mengembalikan nostalgia apabila merakamkan semula lagu hari raya ‘evergreen’, yang pernah dipopularkan oleh Hail Amir dan Uji Rashid berjudul Seloka Hari Raya.
Lagu yang kekal malar segar setiap kali tibanya Syawal itu disusun semula oleh Mel Ramlan dan Mohariz Yaakup.
Mengulas pemilihan lagu itu, Fattah mengakui keistimewaan serta aura yang ada pada lagu itu membuatkan dia dan Fazura berminat merakamkannya semula mengikut cara merekayang tersendiri.
“Semua orang tahu lagu ini ada tarikan yang tersendiri dan diminati ramai. Justeru apabila pihak label, Univeral Music Malaysia memberikan idea untuk kami merakamkan lagu ini, kami terus bersetuju.
“Saya sangat suka dengan versi baharu lagu ini yang ada unsur remix hasil gubahan komposer dan juga teman saya, Mel Ramlan,” kata Fattah.
Sementara isterinya pula menyifatkan ia sebagai satu terjemahan penghargaan mereka kepada penciptadan penyanyi asal lagu tersebut.
“Sebelum itu, ada juga cadangan yang mahukan kami merakamkan lagu baharu tapi bila ada usul seperti ini, kami terima sahaja tawaran itu kerana secara tidak langsung kita meraikan lagu lama yang kita tahu mempunyai ramai peminat,” ujarnya yang kini sedang hamil cahaya pertama mereka.
Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu itu pula, penyanyi Sayangi Dirimu ini berkata dia dan Fattah merakamkan lagu itu secara berasingan.
“Lagu ini dirakamkan sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kami rakam di studio namun dibuat secara berasingan kerana Fattah pada masa itu sibuk kerana terbabit dalam penggambaran drama.
“Saya harap peminat akan menyukai lagu ini kerana ia juga adalah satu hadiah buat mereka yang menantikan sebuah lagu duet Hari Raya daripada kami,” harapnya optimis.
Lebih menarik, muzik video lagu ini menyaksikan wajah Fattah dan Nur Fazura diabadikan dalam bentuk animasi.
“Pelaksanaan PKP membuatkan penggambaran muzik video ini terpaksa dibatalkan.
“Bagaimanapun, saya dan isteri tampil dengan idea iaitu kami akan muncul dalam muzik video itudalam bentuk animasi.
“Konsep dan jalan cerita muzik video ini adalah cetusan idea kami berdua,” ujarnya lagi.
Memandangkan negara masih lagi melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), urusan promosi lagu ini akan dibuat menerusi media sosial dan juga virtual, termasuk sesi ramah mesra yang juga dilakukan secara atas talian.
Lagu Seloka Hari Raya sudah boleh didapati di semua pelantar digital sejak 15 Mei 2020 lalu.
Sementara itu, rata-rata peminat memberikan maklum balas baik terhadap muzik video yang sudah pun mendapat hampir 10,000 kali tontonan ini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI