Berita

Ibu Syukur Syasya Terima Tajaan RM5 Juta Barang Kemas, Ada Sebab Majlis Resepsi Siang & Malam

Share

Ibu kepada bekas anggota kumpulan Dolla, Noor Syasya Afiqah iaitu Farah Farina Abd Razak mendedahkan majlis resepsi anaknya bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie hari inu terpaksa diadakan dua sesi iaitu siang dan malam disebabkan tidak dapat dewan yang besar untuk tetamu yang ramai.

Malah Farah Farina atau mesra disapa sebagai Riena turut bersyukur atas tajaan yang diterima bersempena dengan hari bahagia anak dan menantu.

“Persiapan untuk hari ini, sebenarnya kita ada dua sesi. Pada siang hari, untuk peminat, keluarga dan rakan-rakan lain. Malam untuk yang lain pula sebab kita tak dapat nak cari dewan yang besar.

“Alhamdulillah ada banyak tajaan yang masuk dan saya berterima kasih kepada penaja yang saya tak dapat nak sebut satu persatu,” katanya.

Dalam pada itu, Riena turut mendedahkan anaknya anggun menggayakan barang kemas dan aksesori yang ditaja Habib berjumlah RM5 juta.

“Kita belum buat kiraan lagi, tetapi untuk Syasya, Habib tajaan RM5 juta untuk barang kemas yang dipakai malam ini.

“Manakala untuk saya pula RM500,000. Selain Habib, Jakel pun ada menaja dan banyak lagi,” katanya lagi.

Riena pada masa sama turut berkongsi mengenai peribadi menantunya yang disifatkan sebagai anak yang baik dan pandai mengambil hati Syasya.

“Nasrullah anak yang baik, dia pun datang daripada keluarga yang baik-baik juga.

“Dia hormat orang tua selain pandai mengambil hati Syasya dan keluarga. Sebab itu Syasya jatuh cinta lebih, sanggup tinggalkan semua (Dolla),” katanya lagi.

Terdahulu, majlis resepsi pasangan raja sehari meriah dengan dihadiri lebih 1,000 tetamu yang diadakan di Magica Subang Hall, Shah Alam.

Sama cantik sama padan, pengantin perempuan dan pasangannya mengenakan persalinan berona biru muda yang ditaja Jakel.

Pada 8 April lalu, Syasya mengejutkan peminat apabila dia mengumumkan tidak lagi bersama Dolla keputusan tersebut dibuat atas faktor peribadi.

Bagaimanapun pada 21 April lalu, pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan Syasya m selamat bergelar isteri.

Malah foto pernikahan Syasya dan suami turut tersebar di media sosial.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH