Idan Aedan Jadi Bintang Pertama Malaysia Ke Siri Netflix Antarabangsa; “Saya Boleh Cakap, Tak Pernah Terbayang…”

Share

Pelakon remaja, Idan Aedan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 18, melakar sejarah tersendiri di dalam profil seninya apabila menjadi pelakon pertama tempatan yang membintangi siri Netflix antarabangsa.

Menerusi siri 13 episod berjudul Mr. Midnight : Beware The Monsters yang telah menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan 2021 itu, dia diberi kepercayaan membawa watak utama sebagai Tyar.

“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Dalam masa yang sama, saya boleh cakap tak pernah terbayang untuk sampai ke tahap itu. Umur saya baru 17 tahun ketika itu. Rezeki saya, Alhamdulillah.

“Saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa macam mimpi pun ada. Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya. Dapat pula berlakon dalam drama bergenre kesukaan saya iaitu seram.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah impi mahu berlakon dengan produksi antarabangsa. Cuma, saya tak sangka rezeki saya datang terlalu cepat,” katanya.

Dia pada masa sama juga teruja apabila dapat bekerja dengan tiga pengarah hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai.

Dalam siri tersebut, Idan bergandingan dengan pelakon remaja popular dari Indonesia iaitu Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier.

Bukan itu sahaja, Idan akui rasa bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon Caleb Monk, Chen Yixin, Nikki Dekker dari Australia.

“Saya boleh kata satu kenangan manis dan tak dapat saya lupakan. Dalam usia yang muda dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang tak pernah saya terfikir.

“Selain pengarah dan gandingan pelakon yang mengujakan, cara bekerja mereka juga amat berbeza. Bukan sahaja saya belajar tentang lakonan, saya turut diberikan pendedahan tentang ‘camera work’ dan teknikal lain yang membuatkan saya boleh memahami keseluruhan perjalanan cerita itu,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan;

Penampilan Beto Kusyairy, Idan Aedan & Dua ‘Footballer’ Profesional, Anak Rimau The Movie Dibikin Dengan Kos RM5.5 Juta

“Kalau Kecaman Itu biasa, Semua Orang Kena Kecam Kan?,” – Pelakon Idan Aedan Ulas Spekulasi

Bercerita lanjut tentang keistimewaan watak Tyar dalam siri adaptasi novel popular di Singapura itu, Idan berkata, Tyar mampu melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus disebabkan keturunan sebelah ibunya adalah dukun.

“Tyar yang berumur 17 tahun tidak tahu bagaimana hendak mengawal situasi tersebut. Bermacam-macam konflik timbul.

“Kalau nak tahu lanjut bagaimana dia berhadapan dengan dunia ghaib tersebut, kenalah tonton nanti,” katanya yang sebelum ini pernah muncul menerusi filem Anak Rimau The Movie. 

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH