Pelakon kacak, Idris Khan atau nama sebenarnya Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan bakal bernikah dan sekaligus menamatkan zaman bujangnya pada bulan hadapan.
Berita ini diketahui menerusi satu sumber di mana Idris mengakui sudah bersedia untuk menyunting kekasih hati yang berasal dari Maghribi, Sanaa Jaffer untuk menjadi suri hatinya selepas hampir dua tahun menjalin hubungan.
“InsyaAllah, kami akan melangkah ke jenjang pelamin bulan depan. Januari depan genap dua tahun saya mengenali Sanaa dan sepanjang mendekatinya, saya lihat dia memenuhi ciri yang saya cari sebagai suri hidup.
“Saya selesa dengannya kerana Sanaa memahami apa yang saya lakukan. Tidak mudah untuk mereka yang berada di luar lingkungan dunia hiburan memahami insan seni, tetapi bakal isteri pula sebaliknya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kekasihnya itu juga sudah mula faham dengan cara kerjanya malah sudah boleh membiasakan diri dengan persekitaran kerjaya Idris yang tidak tentu masa.
“Saya berharap perancangan kami ke arah yang lebih baik itu akan dipermudahkan,” ujarnya lagi kepada Berita Harian.
Menurut Idris lagi selain daripada gembira kerana bakal bergelar suami tidak lama lagi, ada satu lagi perkara yang membuat dirinya teruja menanti kedatangan bulan Disember akan datang kerana filem pertama terbitannya, KL Wangan yang diterbitkan bersama rakan-rakan lain bakal ditayangkan.
“Alhamdulillah, segala persediaan akhir sebelum filem ini menjengah pawagam sudah hampir selesai. Saya mengakui, teruja untuk melihat hasilnya nanti kerana ia percubaan pertama dan terbesar pernah saya lakukan,” katanya.
Apapun kami di MH Online mendoakan agar segala perancangan Idris untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan.
Sumber: Berita Harian