Berita

Ikmal Amry Masuk Who’s Your Bro Sebab Mahu Hapuskan Stereotaip ‘Hero Romeo’, Isteri Siapkan Menu Diet & Kejut Jogging Tiap Pagi

Share

Pelakon Ikmal Amry memberitahu dia memilih untuk menyertai program realiti, Maskulin: Who’s Your Bro bagi menepis ‘stereotaip’ dirinya hanya sesuai berlakon watak romeo romantik sahaja.

Ikmal Amri atau nama sebenarnya, Mohd ZulIkmal Amri Ghazali, 30, juga menyifatkan penyertaannya dalam program realiti berkenaan sebagai satu peluang besar untuk menyerlahkan kelebihan dari segi fizikal.

“Ini adalah salah satu sebab terbesar saya masuk dan sepanjang sepuluh tahun dalam industri, mungkin kebanyakan orang tidak nampak yang saya sebenarnya juga boleh pegang watak aksi.

“Jujurnya, tawaran untuk watak lasak juga saya tidak ada. Mungkin sebab ada yang menganggap saya sebagai pelakon lebih sesuai untuk watak romantik semata-mata.

“Jadi apabila ada platform program realiti yang memerlukan kita fokus terhadap kecergasan, saya terus ambil peluang,” katanya kepada MH.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media dan perkenalan barisan peserta program realiti Maskulin : Who’s Your Bro di Bukit Jalil, pada Selasa.

Finalis Hero Remaja 2017 ini menambah, dia cuma mengambil masa tiga bulan untuk melakukan persiapan sebelum menyertai program realiti terbaharu ini.

“Sebenarnya tidak lama, tiga bulan sahaja sebab lepas habis penggambaran, badan saya susut dan berat saya ketika itu cuma 60 Kilogram.

“Saya teruskan rutin kecergasan dan kebetulan dapat tawaran untuk sertai pertandingan ini. Malah saya rasa, keadaan kecergasan fizikal saya juga ideal dan boleh bertanding,” katanya lagi.

Ikmal juga bertuah apabila isterinya, Najla Shamsul menyokong penuh penyertaannya ke Maskulin: Who’s Your Bro.

“Dia menyokong apa-apa yang saya pilih untuk buat. Kemudian, dalam masa tiga bulan berlatih, dia juga yang menyediakan menu makanan diet untuk saya.

“Malah dia jugalah yang akan kejutkan saya bangun pagi untuk joging. Dia seorang yang supportive, termasuk ketika saya ada penggambaran,” katanya.

Tidak mahu terlalu meletakkan harapan untuk bergelar juara, bintang drama From Saga With Love ini hanya mahu mengubah persepsi bahawa dia juga pelakon versatil.

Selain Ikmal, 11 lagi barisan peserta telah pun diumumkan sekaligus akan bersaing selama 10 episod bagi merebut gelaran juara Maskulin : Who’s Your Bro yang pertama.

Program ini bakal bersiaran bermula 29 November depan, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria dan platform penstriman Astro Go.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Irfan Kamaruddin