“Ikut Rapat Kes Puan Jahidah,” – Sufian Suhaimi Lancar Tabung, Peka Nasib Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Share

Penyanyi dan usahawan, Sufian Suhaimi di bawah syarikatnya BabyPian mengambil inisiatif dengan melancarkan Tabung Kasih khusus bagi meringankan beban keluarga dan wanita koma yang dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin.

Sumbangan yang dihulurkan termasuklah tabung pendidikan anak kepada mangsa iaitu Eshan Nufail yang kini berusia setahun.

“Kisah Puan Jahidah sangat dekat dan kami memang ikut rapat perkembangan kes ini. Alhamdulillah, bulan lalu saya berpeluang bertemu dengan dia dan ahli keluarganya.

“Melihat keadaan Puan Jahidah yang tidak bermaya depan mata… saya sangat simpati. Jadi, secara tidak langsung memberi motivasi kepada pihak kami untuk tampil dengan inisiatif ini.

“Saya bersama pasukan BabyPian cuba melakukan apa yang mampu bagi membina kesedaran berkenaan isu keganasan rumah tangga,” katanya ketika ditemui di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya pada Selasa.

Menerusi majlis sama, turut dilakukan ialah sesi penyerahan sumbangan Tabung Kasih dan pelancaran produk Kasih Pillow yang dijayakan bersama Kumpulan InTeam yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu.

Kasih Pillow dilengkapi dengan zikir, selawat dan lagu nasyid dari kumpulan berkenaan.

Sementara itu, penyanyi lagu Di Matamu itu tidak menyangka apabila usaha berkenaan turut mendapat kerjasama positif daripada pihak KPWKM.

“Kami berbesar hati sebab KPWKM turut memberi sokongan terhadap projek ini. Secara asasnya, apa yang nak disampaikan adalah berkenaan projek Kasih Pillow, cerita di sebaliknya, perkembangan Puan Jahidah dan kebangkitan wanita untuk berani membela diri sendiri,” katanya lagi.

Mengimbas kembali kejadian yang mengejutkan negara itu, Jahidah, 44, petugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Mei 2021 selepas dipercayai dicederakan suaminya.

Dia yang ketika itu hamil enam minggu mengalami kecederaan parah sehingga sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan.

Malah selain rahang, tulang belakang serta rusuknya juga retak, disyaki dipukul.

Jahidah yang terlantar koma sehingga sekarang, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada November 2021.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH