
Muhsin Hendricks, imam pertama yang mengaku mengemalkan gaya hidup homoseksual telah ditembak mati di Afrika Selatan pada hujung minggu lalu. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat sama ada pembunuhan ini merupakan jenayah kebencian.
Dalam satu kenyataan, pihak polis menyatakan bahawa Muhsin telah dibunuh pada pagi Sabtu ketika dalam perjalanan berhampiran bandar Gqeberha di Wilayah Cape Timur, Afrika Selatan.
Menurut kenyataan itu lagi kematian Muhsin berlaku apabila kereta miliknya telah diserang hendap oleh dua individu yang mengenakan pelitup wajah.
“Dua suspek tidak dikenali dengan muka bertutup keluar dari kenderaan mereka dan mula melepaskan beberapa tembakan ke arah kenderaan mangsa,” kata pihak berkuasa.
Hendricks menubuhkan Inner Circle, sebuah tempat perlindungan selamat bagi umat Islam gay, tidak lama selepas beliau mengumumkan dirinya sebagai imam berorientasi homoseksual secara terbuka pada tahun 1996.
Sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan seorang wanita tetapi bercerai pada tahun yang sama selepas membuat pengakuan terbuka mengenai identiti seksualnya.
BACA JUGA: Lelaki Buat Demonstrasi Bakar Al-Quran Di Sweeden Maut Ditembak
“The Inner Circle adalah organisasi hak asasi manusia yang paling lama bertahan, terbesar, dan paling berpengaruh di dunia dalam menangani isu Islam, jantina, dan kepelbagaian seksual dari perspektif teologi Islam,” menurut laman web organisasi itu.
Dalam satu kenyataan lain, Lembaga Ulama Cape Town yang merupakan sebuah organisasi berlandaskan fahaman Sunni, mengutuk pembunuhan tersebut tetapi menyatakan bahawa pandangan mereka tidak sejajar dengan pandangan mangsa.
“Kami berpegang bahawa ajaran Islam secara tegas mengutuk keganasan, pembunuhan, atau sebarang tindakan yang melemahkan kedaulatan undang-undang dan menggugat kestabilan masyarakat.
“Justeru, Lembaga Ulama Cape Town menggesa komuniti kami untuk membiarkan undang-undang menyiasat kejadian ini. Dengan mengikuti proses yang sewajarnya, kami berharap dapat mengekalkan keamanan dan ketenteraman,” kata kenyataan itu lagi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI