“Iman Minta Maaf”

Share

Penyanyi remaja, Iman Troye tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Instagram selepas dikritik kerana didakwa tidak sensitif apabila memuat naik ciapan mengenai angka kes positif yang semakin tinggi di Twitter miliknya, pada Ahad.

Di dalam kenyataan tersebut, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin sedar akan kesilapan terbabit sebaik memuat naik status tersebut di Twitter.

Namun, dia tidak berniat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.

“Assalamualaikum semua. Saya mohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Saya mula sedar kesilapan ini selepas memuat naiknya. Ciapan itu sangat mengelirukan dan saya mengakui perkara itu.

“Apa yang saya lakukan tidak sensitif. Saya sepatutnya lebih peka berkaitan hal ini. Saya tiada niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak,” tulisnya dalam kenyataan berkaitan.

Iman pada sama sama turut berterima kasih kepada semua pihak yang menegurnya dan akan belajar daripada kesilapan.

“Saya tidak terdetik untuk melukakan sesiapa terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya (Iman) minta maaf. Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya minta maaf dan maksudkannya. Terima kasih kepada semua yang tegur Iman. Iman akan cuba jadi lebih baik, Insha-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu, penyanyi yang popular menerusi lagu Teman ini mendapat kecaman gara-gara menulis statistik angka jangkitan harian Covid-19 disertakan perkataan ‘happy’ (gembira), sehingga ia disifatkan netizen seolah-olah ‘bangga’ dengan angka jangkitan itu.

Malah, ada yang menganggap tindakan itu tidak sensitif dengan isu semasa.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas memuat naik status terbabit, Iman difahamkan telah menyahaktif akaun Twitter.

Hantaran tersebut sehingga kini telah pun mendapat lebih 100,000 tanda suka bersama respon pelbagai yang ditinggalkan warganet di ruangan komen.

Foto: Instagram Iman Troye

Published by
MH