Berita

Impak Babah, Qi Razali Teringat Mesej Peribadi Sayu Remaja – “Dia Bergaduh Dengan Bapanya, Nak Lari Rumah Hilangkan Diri…”

Share

Pelakon Qi Razali mendedahkan dia ada menerima mesej peribadi menyentuh hati daripada pengguna media sosial sejurus menonton filem terbaharu lakonannya, Babah yang kini masih rancak ditayangkan di pawagam.

Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali, 47, yang mendukung watak utama menerusi filem berkenaan berkata, mesej yang diterima kebanyakannya berkisah mengenai hubungan kekeluargaan di antara bapa dan anak.

Ada Bapa Turut Mesej

“Ada satu yang ingat, remaja berkenaan memberitahu  dia bergaduh dengan bapanya sehingga ingin lari dari rumah dan menghilangkan diri daripada keluarga.

“Panjang mesej yang dia hantar pada saya. Namun pada hujung mesej itu, dia ucap terima kasih dan mahu berbaik kembali dengan bapanya.

“Saya kongsikan mengenai perkara itu di media sosial saya dan kemudian kakak kepada remaja berkenaan turut tinggalkan komen dan turut ucap terima kasih,” katanya.

Qi pada masa sama turut mengakui ada para bapa yang turut menghantar mesej mengucapkan terima kasih atas keberkesanan watak yang dijayakan.

Malah dia turut terharu apabila kini lebih ramai yang faham dan menghargai peranan serta tanggungjawab seorang ayah di dalam institusi keluarga.

Sementara itu, Babah yang mencipta sukses tersendiri apabila mengaut kutipan sekitar RM6 juta dalam tempoh hampir tiga minggu tayangan kini memasuki pasaran Singapura.

Penerbitnya, Nadia Mohd Nadzri menjelaskan, susulan sambutan baik terhadap naskhah yang mengambil latar pengorbanan seorang bapa kelainan upaya (OKU) pendengaran itu, ia turut mendapat permintaan untuk ditayangkan di Borneo.

Terima Reaksi Baik Khalayak

“Kami jujurnya terharu dengan maklum balas ramai terhadap cerita mengenai hubungan bapa dengan anak perempuannya dapat menyentuh hati penonton.

“Walaupun sudah hampir tiga minggu di 99 pawagam seluruh negara, masih ramai yang hadir menonton dan difahamkan macam berlaku gelombang kedua kerana cuti hujung tahun.

Malah tambahnya lagi, sambutan positif itu tetap ada meski Babah bersaing dengan beberapa filem lain yang lebih besar bajetnya.

“Syukur alhamdulillah. Kami memberikan sepenuh jiwa dan merealisasikan kisah ini dengan ikhlas yang membuatkan karya ini berjaya menyentuh hati penonton.

“Kami pun tak sangka bila filem ini tular dan jadi ‘fyp’ di media sosial seterusnya jadi bualan. Apa yang boleh kami katakan, ia semuanya berlaku secara organik,” katanya lagi.

Selain Qi, Babah terbitan Nads Media Entertainment yang ditayangkan sejak 5 Disember lalu ini turut membariskan Qistina Suzzane, Sweet Qismina, Adam Lee dan Kis Aisha.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH