Aktres senior yang sudah beberapa kali menggondol trofi pelakon wanita terbaik di negara ini, Fauziah Ahmad Daud menitipkan nasihat kepada pelakon baharu yang bercita-cita mahu merangkul trofi Anugerah Akademi atau Oscar agar memperbaiki lakonannya jika mahu impian menjadi kenyataan.
Menurut Fauziah atau yang turut disapa sebagai Ogy, dia melihat segelintir pelakon muda yang sekadar melontarkan dialog, namun belum benar-benar menyelami watak yang dibawa.
“Sebenarnya tidak salah jika kita berfikiran jauh secara global tetapi saya pernah menonton lakonan pelakon ini. Terus terang saya ingin berkata daripada seorang kakak dan seniwati, banyak sangat yang dia harus pelajari.
“Apa yang saya lihat acuan lakonan, apabila anda melafazkan dialog dan bagaimana anda masuk ke dalam watak yang diberikan untuk melontarkan dialog.
“Kalau saya cakap lebih-lebih macam ini pun, pelakon itu mungkin tak faham. Tapi ramai (pelakon) yang hanya melontarkan dialog namun tidak memasuki ke dalam watak itu,” katanya.
Ogy berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Teater Di Sebalik Topeng di Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Fauziah pada masa sama menyarankan mereka berkenaan ‘mencari’ jiwa dalam lakonannya terlebih dulu bagi memantapkan kemahiran dan ilmu pengetahuan sebagai seorang anak seni.
“Banyak lagi kena belajar, selongkar lagi diri kerana bila mahu masuk ke dalam satu watak, ia bukan hanya melihat pada ciri karakter sahaja tetapi secara keseluruhannya.
“Minda perlu berfikir, jiwa harus ada rasa, pernafasan, pergerakan, rasa tubuhnya semuanya perlu diambil kira. Jadi banyak perkara yang perlu dilakukan bukan hanya berlakon semata-mata,” katanya lagi.
Herion filem Azura ini bagaimana pun tidak pesimis terhadap hasrat tersebut. Malah dia menyokong, sekaligus mencadangkan agar pelakon tersebut terus berusaha bagi membuktikan kepada orang di luar sana bahawa tiada apa yang mustahil.
“Impian itu gratis (percuma). Tetapi sekiranya itu yang sebenar-benarnya yang adik inginkan, berusaha keras untuk dapatkannya.
“Buktikan kepada netizen yang awak boleh menang anugerah Oscar, insya-Allah tapi kena belajarlah… jangan main asal boleh sahaja.
“Jangan rambut sahaja nak kena cantik, pakai kanta lekap (penampilan diri)… Tidak, lakonan bukan hanya itu (jaga penampilan) sahaja adik. All the best adik,” katanya.
Fauziah menambah, untuk meraih kejayaan sedemikian, ia memerlukan pengalaman berpuluh tahun dengan mengambil contoh bintang ternama yang sudah meraih Oscar.
“Awak (pelakon) juga perlu ingat Leonardo mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon negara kita, Michelle Yeoh.
“Mempunyai impian itu adalah bagus saya mengalu-alukan. Jadi jika awak menyimpan impian tersebut, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata.
“Mulakan cari ilmu di dalam bidang lakonan, barulah awak akan menghargai seni ini,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.