Mendirikan sebuah masjid di sebuah negara asing yang rata-rata penduduknya bukan beragama Islam bukanlah mudah. Namun impian ini berjaya direalisasikan pelakon dan personaliti popular Indonesia, Teuku Wisnu.
Dalam satu hantaran di ruangan Instagramnya, Teuku Wisnu memuat naik sebuah video menampilkan dia sedang melaungkan azan di tapak pembinaan masjid tersebut yang terletak di Yokohama.
Lebih mengharukan, dia dilihat tidak dapat menahan emosi kerana impian untuk mendirikan sebuah masjid direalisasikan.
“Bismillah, mimpi yang harus dibeli. Dengan perjuangan ikhtiar langit dan bumi. Langit dengan berdoa bersama, meminta dan memohon pertolongan Allah SWT agar dipermudahkan prosesnya.
“Dan bumi dengan banyak cara, boleh dengan sekali klik untuk kongsikan video ini dan membentu menderma untuk mewujudkan pembangunan masjid. Berapa pun nilainya, InsyaAllah sesuai janjiNya, Allah balas berlipat kali ganda,” ujarnya.
Dalam video tersebut, dapat dilihat masjid yang bakal dibina itu akan dikenali sebagai Masjid As-Sholihin Yokohama yang turut berfungsi sebagai lokasi pendidikan Islamik dan Pusat Mualaf.
Dalam hantaran itu lagi suami kepada Shireen Sungkar ini menyatakan bahawa masjid itu dijangka siap pada akhir tahun 2024.
“InsyaAllah, akan jadi amal jariah kita yang terus mengalir sampai kita meninggal dunia kerana pernah memberi sumbangan dalam pembangunan masjid ini dengan cara klik link di bio saya. InsyaAllah, akhir tahun 2024 akan selesai. Amin,” tambahnya lagi
Imbas kembali, Teuku Wisnu merupakan pelakon sinetron popular Indonesia dan memiliki lebih 5 juta pengikut. Walaupun tidak lagi berlakon, namun dia tetap menerima jemputan sebagai tetamu dan hos di kaca televsiyen.
Kini jejaka berusia 38 tahun ini lebih selesa menumpukan perhatian terhadap perniagaan yang dijalankan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan