Hiburan

Ina & Maria Paling Menyerlah, Konsert Pertama Kilauan Emas 2024 Bukti Usia Bukan Penghalang Bakat Unggul

Share

Konsert pertama Kilauan Emas 2024 telah pun melabuhkan tirai semalam. Siapa sangka selepas tujuh tahun ‘hiatus’, rancangan realiti nyanyian khusus untuk golongan veteran ini masih berbisa.

12 finalis yang dipilih ternyata memiliki bakat yang cukup besar menjadikan konsert pertama malam tadi lengkap rencah dan mengasyikkan. Pilihan-pilihan lagu dilihat kena dengan setiap peserta.

Milik Peserta Wanita

Kejuaraan minggu pertama menjadi milik Maria yang mendendangkan lagu Pelesit Kota dengan penuh bertenaga. Dia berjaya meraih markah sebanyak 75.38% untuk persembahannya itu.

Kredit foto: Astro/Azrul Rafie

Masakan tidak, anak jati Terengganu ini meraih pujian dan juga ‘standing ovation’ daripada pada juri profesional malam itu.

Walaupun begitu, gelaran Emas Berkilau of The Week menjadi milik Ina atau nama penuhnya Nur Fadhlina Ismail yang menampilkan persembahan dan vokal cemerlang menerusi lagu Cinta milik penyanyi asal, Vina Panduwinata.

Dari sudut pandangan Media Hiburan, kedua-dua Maria dan Ina antara pencabar utama kepada peserta lain berdasarkan showmanship dan kualiti vokal yang dikawal baik.

Peserta wanita lain seperti Gie, Balqis, Atie dan Ron menyerlahkan potensi masing-masing dengan maksimum. Walaupun Sue terlupa lirik saat menyanyikan lagu Cinta milik Marsha Milan Londoh, namun dia berjaya melakukan comeback dengan baik.

Peserta Lelaki Tercorot

Hanya lima peserta lelaki musim ini berbanding tujuh peserta wanita, menyaksikan Wan dan Dino terselamat daripada  berada di kedudukan paling bawah

Peserta tiga terbawah bagi konsert pertama kali ini adalah Sidi, Hamid dan Budin yang mana masing-masing hanya berjaya mendapat markah sebanyak 62.60%, 55.34% dan 43.83%.

Seperti boleh diagak berada di tangga paling bawah, Budin yang menyampaikan lagu Siapa Di Hatimu menampilkan persembahan kurang bertenaga dan lebih kelihatan seperti sedang menyanyi karaoke.

Namun begitu, peniaga pakaian dari Georgetown ini memiliki kesempatan untuk menebus kembali kekecewaan minggu ini apabila tiada penyingkiran dilakukan pada konsert pertama.

Imbas kembali, konsert pertama kilauan emas malam tadi telah dinilai oleh juri tetap, Erra Fazira dan Roy Azman manakala Datuk Yusof Haslam bertindak sebagai juri jemputan.

Bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam, #JomUsha Kilauan Emas 2024 setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

 

 

Published by
Fiezreen