Influenstar Asia Dot Com iaitu sebuah platform digital GIG untuk pempengaruh tempatan baru di bawah pengurusan Jemz Group International Sdn Bhd (JEMZ GROUP), telah dilancarkan secara rasmi.
Platform ini bertujuan untuk menyokong industri GIG negara melalui segmen pempengaruh dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada pempengaruh, terutamanya yang bergerak secara individu.
Selain itu, Influenstar Asia Dot Com turut menawarkan latihan kepada golongan muda yang berminat untuk menjadi pempengaruh dengan modul latihan yang direka khas mengikut aliran terkini dan dilatih sendiri oleh pempengaruh yang berpengalaman dalam bidang kandungan kreatif.
Platform ini juga turut menyediakan sokongan kecemerlangan pengurusan termasuk penyediaan kontrak untuk melindungi hak dan kepentingan pempengaruh, pembangunan kempen pemasaran dan kandungan kreatif.
Ini bertujuan bagi membantu pempengaruh meningkatkan kemahiran mereka menjadi pempengaruh yang lebih bertanggungjawab dan memastikan kandungan yang dihasilkan adalah benar serta beretika agar dapat membina kepercayaan yang berkekalan dengan pengikut dan pelanggan.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Influenstar Asia Dot Com turut memperkenalkan JAZMINE, pempengaruh Maya pertama di Malaysia hasil kerjasama dengan Warnakala Studios, pemilik harta intelek (IP) Didi & Friends dan Makania.
JAZMINE juga turut melancarkan single debut dan video muziknya yang berjudul “In The Zone”, yang digubah oleh JD Wong dari kumpulan rock Pop Shuvit.
JAZMINE adalah pempengaruh era digital yang bukan sahaja berfungsi sebagai pempengaruh maya tetapi juga sebagai penentu arah aliran industri selaras dengan motto Influenstar Asia Dot Com iaitu
Let’s influence the future!Dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI), JAZMINE direka untuk mentakrifkan semula cara jenama dan khalayak berinteraksi seperti membuat ulasan produk, perkhidmatan dan acara dalam sfera digital.
Sebagai salah satu pempengaruh di bawah Influenstar Asia Dot Com, JAZMINE akan memimpin kempen inovatif dengan mencipta kandungan yang relevan untuk generasi digital.
Pelancaran acara berkenaan disempurnakan oleh YBhg. Puan Nurul Izzah Anwar, Pengerusi, Social and Economic Research Initiative (SERI), dan disaksikan oleh Tuan Muhammad Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan, Puan Sivamalar Genapathy, Pegawai Tugas-Tugas Khas 1 dan Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan, Puan Farahida Dato’ Sri Fauzi.
Hadir sama ialah Pengerusi JEMZ GROUP, Encik Jemizan Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif JEMZ GROUP dan pengasas Influenstar Asia Dot Com serta Puan Nadia Janu selaku Ketua Pegawai Eksekutif Influenstar Asia Dot Com dan Encik Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian, Ketua Pegawai Eksekutif dari Warnakala Studios.
Majlis pelancaran yang turut dihadiri hampir 130 tetamu termasuk pempengaruh dari pelbagai segmen di bawah pengurusan Influenstar Asia Dot Com seperti Nazrief Nazri, CEO Batu, Elle Fara, Kak Dya, Baggio Damasutra dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.