“Ingatkan Dah Terduduk Dek Pandemik Dulu Akan Berubah…,” – Nama Digugurkan Sebab Banyak Ubah Kontrak, Amerul Affendi Kecewa

Share

Pelakon, Amerul Affendi meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap pengurus sebuah produksi tempatan yang mempersenda dirinya gara-gara banyak membuat perubahan di dalam kontrak.

Malah difahamkan namanya juga didakwa digugurkan daripada projek produksi berkenaan tanpa sebarang pemberitahuan.

Menurut Amerul, sikap yang ditunjukkan oleh pengurus produksi tersebut secara tidak langsung telah menggambarkan tahap profesionalisme para penggiat industri seni tanah air ketika ini.

“Bila kau ditertawakan oleh pengurus produksi kerana banyak sangat term yang nak di ubah dalam kontrak. Dan kemudian tahu-tahu dah ditukar dengan pelakon lain tanpa ada sekor pun bagitau.

“Tengoklah tahap professionalnya industri ni. Nasib baik dah jadikan lakonan ni hobi sahaja,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon filem, One Two Jaga ini menerusi beberapa ciapan yang dimuat naik di laman Twitter.

Katanya lagi, ini adalah bukan kali pertama dia berurusan dengan pengurus produksi berkenaan malah, sebelum ini juga dia pernah berhadapan dengan situasi yang serupa.

Tambah Amerul, dia sebenarnya hanya mahu berunding bagi mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak berkaitan haknya sebagai seorang pelakon.

“Dan ini kali ketiga berurusan dengan pengurus produksi ni. Ingat lagi bagaimana dia menganjing waktu di lokasi kata “wah bukan main ko ye sekarang demand betul” sambil kawan-kawan dia ketawa terkekek-kekek.

“Lepas pada projek tu tahu-tahu nama dah dijaja ke merata tempat kata demand melampau. Demand kah kalau menuntut hak yang sepatutnya. Demand kah kalau masih buka untuk berunding bagi mendapat persetujuan yang baik kedua-dua belah pihak,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Amerul turut merasakan para pemain industri yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 seperti tidak membuka minda mereka dan belajar daripada kesilapan lalu.

“Ingatkan bila dah terduduk dek kerana pandemik dulu akan berubah lah pemikiran dan perangai bila sudah boleh bekerja kembali.

“Rupanya masih sama. Berbuih mulut penggiat-penggiat industri bermuzakarah itu ini di serata platform media sosial untuk menjadikan industri ini kembali sihat selepas pandemik.

“Tapi kenyataannya masih sama dengan modus operandi yang sama. Sampai bila mahu begini?,” akhirinya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut menyatakan pandangan yang sama selain turut memberikan kata-kata semangat buat Amerul.

“Dugaan menjadi pelakon yang berkualiti di Malaysia ni. Kat Malaysia ni nak maju kena ada berjuta followers baru boleh naik.

“Semoga boss diberi peluang untuk tadbir urus produksi sendiri dan mengubah standard mentaliti ‘orang kita’.

“Kontrak berat sebelah dan hanya memihakkan produksi. Jikalau tidak bersetuju dan tidak mahu berbincang baik terus terang sahaja dari awal. Hampeh,” antara komen-komen netizen di laman Instagram.

Dalam perkembangan lain, Amerul kini dilihat sibuk mempromosikan filem terbarunya yang berjudul Prebet Sapu.

Prebet Sapu merupakan filem pertama Amerul sebagai watak utama.

Filem ini dijadualkan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 16 Disember ini.

Sumber: Twitter Amerul Affendi

Published by
Aizam Manaf