“Saya down bukan sebab lagu, tetapi sebab saya teringatkan arwah.” Itu kata peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Naqiu yang mengakui ralat apabila kualiti persembahannya pada minggu duet tidak sebaik yang dirancang.
Bintang berusia 34 tahun itu bagaimanapun mengakui kesilapan dan cuba bangkit untuk memberikan persembahan yang lebih baik, minggu hadapan.
“Hubungan kami (Allahyarham Achik Spin) bukan jenis yang selalu menghubungi menerusi mesej atau keluar lepak, tetapi kami sering bertemu di belakang pentas apabila melakukan persembahan bersama.
“Akan tetapi keramahan serta lawaknya membuatkan saya terkesan sebab kebiasaannya kebanyakan penyanyi akan ambil masa sendiri dahulu ketika di belakang pentas sebagai persediaan sebelum membuat persembahan.
“Namun ia berbeza dengan arwah. Kalau ada 100 orang di belakang tu, 100 orang akan gelak bersamanya. Arwah seorang yang ceria dan bila saya buat rakaman sebelum itu, ingatkan saya kuat tetapi baru saya sedar. Kawan aku dah tak ada,” katanya.
Ditanya sama ada ia secara langsung menjejaskan persembahannya dalam menyampaikan lagu Gurauan Berkasih dengan baik, Naqiu menjelaskan ia adalah berpunca dari dirinya sendiri.
“Salah saya juga sebab sebak hingga tak mampu nak sampaikan dengan baik. Salah sayalah. Jujurnya, ketika sesi reheasal semalam bukan macam tu. Ia lebih baik.
“Malah simboliknya saya melutut pada Siti Nordiana sebenarnya tidak dirancang. Tetapi ia sebagai tanda terima kasih kepada Siti Nordiana (rakan duet) kerana kalau saya seorang yang menyanyi, rasanya tak sampai seminit saya ke belakang.
“Momen Nana memandang saya, datang semangat untuk habiskan lagu berkenaan,” jelasnya lagi.
Pada minggu keempat konsert GV6 yang bersiaran pada Ahad, Naqiu atau nama lengkapnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib sekadar menduduki ranking ketujuh daripada 11 peserta dengan markah sebanyak 63 peratus.
Sementara itu, KOOL yang dianggotai Hairi dan Riot diumumkan sebagai peserta tersingkir. KOOL mengumpul markah keseluruhan sebanyak 49 peratus.
GV6 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 9.00 malam setiap hari Ahad di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.
Pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang menjadi juri tetap sementara Datuk Jamal Abdillah pula diundang sebagai juri jemputan minggu ini.
Ikuti temu bual penuhnya di sini;