“Ingatkan Mak Akan Letak Harga ‘Potong Kepala’, Tapi…,” – Penerbit, Ayu Puteh Terkejut Dengan Bayaran Khatijah Tan

Share

“Pengarahnya Ellie Suriaty, tambah pula ini filem pada zaman dia, jadi tak boleh tolak.”

Demikian kata penerbit, Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh yang menghargai penerimaan pelakon senior, Khatijah Tan untuk membintangi filem terbaharu terbitan syarikat produksinya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd berjudul Saadiah; Bekal Kasih Merdeka.

Ayu berkata, meski pernah menerima pelbagai penghargaan, namun Khatijah yang disapa sebagai Mak tidak berkira atau meletakkan harga terlalu tinggi untuk membintangi naskhah berkenaan.

“Kita ingatkan bila Mak sukakan projek ini selepas selesai baca skrip dan kita memang mahukan Mak, ingatkan dia akan letak harga ‘potong kepala’. Tapi Mak bukan macam tu, seperti segelintir pelakon.

“Dia teruja kerana ini projek filem epik dan mendukung watak Saadiah. Kalau nak diikutkan, dia bintang utama di dalam filem ini sebenarnya. Mak pun bukan bagi sikit-sikit, dia berikan ‘roh’ untuk filem ini.

“Bila tengok babak lakonannya di set penggambaran Saadiah, buat kami rasa kagum. Memang bakat Mak ‘gifted’ sebagai seorang pelakon,” katanya.

Melihat kepada komitmen tersebut, Datuk Ayu cuba memberikan bayaran yang lebih baik.

“Bila dia letak harga begitu, kami terkejut. Saya dan Ellie saling memandang. Jadi mengenangkan bakat dan penghargaan kepada Mak, kami ‘tutup mata’, berikan harga lain untuk dia.

“Sebab dialah yang menghidupkan keseluruhan cerita. Harga tersebut dia letak kerana awalnya ia super tele-movie dan tak masuk panggung, tapi skala nakshah ini besar.

“Mak masuk set dengan babak air mata tu, saya beritahu Ellie (bayaran lakonan) selepas tiga hari penggambaran dan kami saling memahami,” katanya lagi.

Ditanya persembahan Khatijah Tan menerusi Saadiah, Datuk Ayu kagum dan berpuas hati.

“Saya sangat puas hati, tiada komen. Pertama kali ambil Mak berlakon, saya sudah jatuh cinta dengan dia. Mak juga tidak  ‘diva’, mudah berikan kerjasama.

“Begitu juga dengan pelakon lain alhamdulillah. Bagi saya, bakat lakonan yang dimiliki ini tidak boleh dibeli dengan duit,” katanya lagi.

Saadiah; Bekal Untuk Merdeka diinspirasikan daripada kisah balu anggota polis, Saadiah Abdullah yang menghantar makanan ke IPD Gerik selama 37 tahun sebagai mengenang arwah suaminya, Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai berkenaan.

Filem yang turut dibarisi Azriel Ismail, Kaka Azraff, Faizal Hussien dan ramai lagi ini bakal ditayangkan di pawagam tahun hadapan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH