Penyanyi Pat Robert yang diumumkan sebagai peserta ketiga tersingkir dalam saingan minggu kelima Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) malam tadi akui ada persembahan bintang lain yang lebih baik hingga menyekat kemaraannya pada minggu hadapan.
Menurut Pat atau nama sebenarnya, Patricia Robert atau Nurul Nadhira Patricia Robert, dia bagaimanapun positif dan cuba mengambil pengalaman sepanjang pertandingan.
“Bagi saya ini nasib, percaya rezeki. Tambahan lagi peserta lain yang bertanding pun memang hebat-hebat, apa yang saya tengok.
“Kita boleh nampak daripada segi persembahan mereka, memang best,” kata vokalis kumpulan Candy ini kepada MH.
Pat pada masa sama tidak menafikan setiap minggu dia merasakan dirinya yang akan tersingkir dan bersedia terhadap sebarang kemungkin.
“Setiap minggu saya rasa, saya yang akan terkeluar. Jadi setiap minggu saya sudah bersedia. Saya pun tak tahulah… perasaan (rasa akan tersingkir) itu tak boleh nak elak.
“Apa pun saya reda, teruskan perjuangan. Jujurnya saya memang tak sangka boleh bertahan hingga minggu yang kelima. Ingatkan saya terkeluar pada minggu kedua.
“Apa pun saya gembira sebab muncul peminat baru di kalangan orang muda yang sebelum ini tak kenal siapa itu Candy. Mereka tahu lagu, tapi tak pasti siapa yang menyanyi.
“Misalnya ada yang beri komen di YouTube yang sangka lagu kami dinyanyikan oleh penyanyi lelaki. Jadi bila saya sertai GV ini, sekurang-kurangnya ada generasi baru lebih mengenali kami,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Pat dan ahli kumpulan lain kini sedang dalam proses menghasilkan single terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Terdahulu, Pat yang menyanyikan lagu Babak Pertama di samping Aepul Roza bersempena minggu duet berada di kedudukan terendah selepas meraih markah sebanyak 58.40 peratus.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini