Berita

“Ini Adalah Yang Terbaik,” – Cari Keberkatan, Wawa & Aeril Bawa Lebih 30 Individu Tunai Umrah, Syukur Hajat Termakbul

Share

Pasangan usahawan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel syukur teruja membawa kira-kira 20 usahawan di bawah payung Wawa Cosmetics untuk sama-sama mengerjakan umrah tahun ini.

Rombongan yang terdiri daripada 32 jemaah termasuk ahli keluarga pasangan terbabit berangkat ke Tanah Suci, malam ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Wawa, 31, berkata dia bersyukur kerana hajat untuk membawa para usahawan terpilih untuk mengerjakan umrah dimakbulkan demi mencari keberkatan dalam perniagaan.

“Sebelum ini kita ada bawa mereka melancong ke luar negara selain penghargaan yang lain-lain. Cuma kali ini saya dan Aeril sepakat untuk ambil pendekatan berbeza iaitu dengan membawa mereka sama-sama untuk tunai umrah.

“Ini adalah yang terbaik, semoga kami raih umrah mambur. Ini kali keempat saya mengerjakan umrah. Cuma dua anak kami tak ikut kerana ada peperiksaan,” katanya.

Wawa berkata demikian ketika ditemui pada majlis Wawa Gala Appreciation Awards 2023 di Putrajaya, pada Rabu.

Dalam pada itu, Wawa dan Aeril optimis meletakkan sasaran jualan RM50 juta pada tahun ini.

“Majlis ini sebagai penghargaan kepada para usahawan Wawa Cosmetics yang telah pun banyak bersusah payah. Memang kita jayakan acara seperti ini setiap tahun bagi meraikan mereka.

“Syukur sebab tahun lalu jualan kita berjaya capai sebanyak RM32 juta dan kami sasarkan jualan sekitar RM50 juta, insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah sasaran tersebut, Wawa dan Aeril meletakkan sasaran sedemikian susulan progres pasaran semasa produk jualan.

“Amaun berkenaan adalah mengikut logik sebab sebelum ini, jualan kita capai RM18 juta, kemudian ia meningkat kepada RM32 juta tahun lalu. Jadi tahun ini kita anggarkan kenaikan yang serupa.

“Tidak dinafikan sesuatu bisnes yang dijalankan itu akan ada turun naiknya. Bagaimanapun saya percaya, kita perlu ada strategi dan target jualan juga. Misalnya kami di Wawa Cosmetics, kita sasarkan jumlah berkenaan berdasarkan kepada kapasiti.

“Maksudnya, sudah sedia ada berapa jumlah sasaran untuk setiap bulan hingga ke akhir tahun. Jadi sepanjang tahun sudah tentu kita akan lalukan pelbagai perancangan demi memastikan target tersebut boleh dicapai.

“Ya, bukan mudah sebenarnya sebab ia perlukan pengorbanan daripada segi masa dan juga tenaga. Apa pun, hasil kerjasama sepasukan tak mustahil apa yang diimpikan mampu direalisasikan, Insya-Allah,” katanya lagi.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan penyanyi, Nadeera yang menyampaikan dua buah lagu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

 

Published by
MH