Usahawan dan pelakon, Datin Thalia Baiduri tidak menyangka gurauannya membaca ‘ayat jampi’ ketika memasak buat suami dalam satu sesi siaran langsung di Tik Tok baru-baru ini telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Menurut Thalia, ‘jampi’ yang dimaksudkannya itu sebenarnya ialah selawat yang disertakan dengan ayat suci Al-Quran bagi mendapat keberkatan Allah SWT.

“Saya hanya bergurau di dalam sesi siaran langsung. Tak tahu pula yang ia akan menimbulkan isu.

“Saya tahu ada yang mengecam saya tapi banyak juga yang postif. Mereka tahu saya baca selawat dan ayat Al-Quran. Bukannya baca bacaan karut.

“Ada di antara mereka ingat saya betul-betul baca ayat jampi,” katanya ketika ditemui di Majlis Talia Glitz Raya – ‘Budaya Bertemu Busana’ di Tamarind Square, Cyberjaya pada Selasa.

Katanya lagi, bacaan tersebut juga ialah amalan turun temurun yang seharusnya diamalkan seluruh umat Islam.

Ads

“Saya masih tahu dosa pahala, Alhamdulillah. Itu merupakan amalan turun temurun yang selalu digunakan oleh nenek moyang kita seperti selawat Ya Latif.

“Ia juga merupakan ikhtiar untuk menjaga kebersihan dan amalan yang disarankan sebagai umat Islam.

“Kita memang digalakkan untuk membaca ayat suci Al-Quran bukan sahaja ketika memasak atau basuh beras tetapi juga dalam setiap perkara yang kita lakukan,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada suaminya, Datuk Shahriza Amir terkesan dengan isu tersebut, Thalia menjelaskan suami tahu ia tidak benar.

Ads

“Suami saya tak terkesan pun sebab dia tahu isterinya bukan orang sebegitu. Dia pun ketawa sahaja bila isu ini terjadi sebab dia tahu ini adalah gurauan.

“Dia juga ikut gurau sekali ketika sesi siaran langsung. Dia pula tanya kepada netizen, betul ke dia dijampi.

“Rasanya tak perlulah saya nak menjampi kerana saya sudah kelihatan cantik buat suami,” selorohnya.

Ads

Sementara itu di dalam acara sama, Thalia turut melancarkan lima edisi rekaan eksklusif baju raya sempena Aidilfitri.

Lima rekaan busana Syawal kali ini ialah Thalia, Arisya, Dahlia, Iman dan Baiduri.

Malah, Thalia turut memperkenalkan satu lagi produk terbaharunya, Glam V yang diformulasikan untuk membantu mengurangkan berat badan dengan perisa terbaharu latte.

Lebih menarik, Thalia menawarkan dua buah motorsikal untuk pelanggan sepanjang kempen jualan Ramadan dan Syawal kali ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI