“Ini Bukan Projek Jangka Pendek…,” – Chez Hamdan Teruja Jalin Kerjasama Dengan Penyanyi Erna Elliyana, Buka Salun Paling ‘In’!

Share

Pernah menutup salun miliknya, pendandan rambut selebriti, Chez Hamdan tidak menyangka pertemuan usahawan dan bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli kembali membakar semangat untuknya bagi meneruskan kecintaannya yang terbantut susulan pandemik COVID-19.

Lalu, wujudlah perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ di antara dua usahawan bumiputera berkenaan menerusi kehadiran salun pelbagai tarikan yang dikenali sebagai ChezKamya Professional berlokasi di Sentul Point, Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Salun berkenaan mula beroperasi secara rasmi pada 20 Ogos lalu.

Chez, 36, atau nama penuhnya, Halimi Hamdan mempunyai pengalamannya lebih 10 tahun di dalam industri kecantikan rambut.

Manakala Erna, 34, pula pernah menceburkan diri dalam dunia seni era 1990-an yang semakin dikenali dengan kepelbagaian produk makanan tambahan untuk kecantikan, Kamya Glow.

“Saya bersyukur pertemuan dengan Erna membuahkan semangat baharu untuk saya kembali membuka salun kecantikan. Ini bukan projek jangka pendek, tapi kerjasama selama-lamanya. Insya-Allah.

“Baik saya dan Erna juga akan menjual produk kami masing-masing. Bahkan disediakan pusat pembelajaran kepada yang berminat untuk belajar membuat rawatan kecantikan rambut.

“Di salun ini, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional dengan hasil yang cantik dan kacak. Kami juga menawarkan tempat yang eksklusif supaya pelanggan akan berasa gembira apabila berkunjung ke salun kami,” kata Chez.

Salun ini menyediakan ruang pelanggan yang dilengkapi 15 tempat duduk.

“11 di tempat awam atau terbuka. Selain dua di bahagian VIP. Manakala baki dua lagi di ruangan muslimah untuk wanita bertudung.

“Ruang VIP dikhususkan kepada pelanggan yang mahukan privasi, keselesaan dan juga layanan eksklusif kerana pelanggan turut dihidangkan secangkir kopi serta makanan ringan.

“Turut disediakan ialah ruang menunggu yang selesa dan bilik solat,” katanya lagi.

Bercerita berkenaan kolaborasi terjalin, Chez berkata ia merupakan kerjasama yang bijak terutama dalam meningkatkan ekonomi kedua-dua belah pihak.

“Gandingan antara Kamya dan Chez Professional ini mula terjalin apabila saya mula berkenalan dengan pengasas Kamya Glow iaitu Erna sendiri.

“Dari situlah timbulnya idea untuk bekerjasama, memandangkan kecantikan dan kesihatan rambut sebenarnya saling berkait rapat.

“ChezKamya Professional adalah satu jenama salun rambut yang melengkapi iaitu kecantikan dan rambut adalah dari Chez Professional, manakala kesihatan dan kecantikan adalah falsafah milik Kamya ,” kata Chez.

Antara selebriti yang sering mendapatkan khidmat dandanan rambut daripada Chez seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi.

Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitikberatkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan.

Menurut Erna, salun ini turut memperkenalkan 15 rangkaian produk penjagaan rambut.

“Sesuai dengan pembukaan salun ini, kami di Kamya turut memperkenalkan produk terbaharu iaitu Sugeheir yang merupakan vitamin dalam bentuk kunyah. Produk ini dilengkapi dengan nutrisi untuk pertumbuhan rambut yang sihat dan lebat.

“Ia sekali gus selari dengan cogan kata jenama produk saya iaitu #’Cantik itu siapa? Cantik itu kamu,” kata Erna.

Dia sebelum ini pernah menyertai pertandingan nyanyian seperti Sinaran Pasport Kegemilangan 2000, Malaysian Idol 2004, One In A Million 2006 dan berlakon dalam beberapa drama serta filem tempatan.

Tambah Erna lagi, di salun itu ditawarkan pelbagai perkhidmatan yang pastinya memberi pelbagai kemudahan kepada para pelanggan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH