Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-42 hari ini.
Mulai menerima dedikasi ucapan istimewa peminat menerusi media sosial sejak awal hari ini, Siti yang sinonim disapa TokTi turut menitipkan kata buat semua.
“11 Januari 2021. Alhamdulillah & Terima kasih. Saya berterima kasih kepada stesen-stesen radio yang memutarkan lagu-lagu saya dengan slot khas bermula pagi ini.
“Jika tidak keberatan, saya mohon agar dapat diputarkan lagu Basyirah dari album #ManifestaSITI2020.
“Lagu yang saya lancarkan sekitar 6 bulan lalu, di mana kita bertungkus lumus menentang Covid19 serta penghargaan saya kepada frontliners serta semua yang sedang berjuang tidak kira sesiapa sahaja.
“Semoga Basyirah atau khabar gembira akan mengiringi kita semua dan kita akan menang.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat memberi bantuan, bekerja membantu mangsa banjir di semua negeri yang terlibat.
“Kita terus berdoa agar negara kita akan dilindungi Allah dan dijauhkan musibah yang lebih teruk lagi.
“Ini doa hari lahir saya. Semoga kita semua dipermudahkan dalam setiap cabaran yang Allah uji. Terus kuat!,” tulisnya pada hantaran terkini di Instagram.
Serentak dengan perkongsian tersebut, pengguna media sosial dan rakan selebriti lain turut mengambil kesempatan memberikan ucapan kepada bintang tersebut di samping doa.
Sementara itu menerusi platform sama, Siti turut berkongsi video khas bertajuk ‘Chapter 42: My IVF Story (Exclusive) untuk tontonan umum di laman YouTube bersempena dengan sambutan ulang tahun beliau.
Harapan kami, moga TokTi diberikan kesihatan yang baik dan kebahagiaan di dunia dan akhirat disamping keluarga tersayang. Happy birthday!