Hiburan

“Ini Fakta Yang Kena Tahu, Saya Membesarkan Anak-Anak Seorang Diri Sejak 15 Tahun Lalu,” – Rita Rudaini

Share

Pelakon, Rita Rudaini berharap semua dapat menyemak semula fakta terlebih dahulu sebelum ingin mengaitkan anak-anaknya dengan mana-mana pihak.

Menurut Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, sepanjang 15 tahun ini, dia menjadi ibu yang telah berusaha seorang diri untuk membentuk anak-anaknya itu menjadi insan cemerlang dari segi agama, akademik dan sukan.

“Ini fakta yang kena tahu, saya membesarkan anak saya seorang diri sejak 15 tahun lalu,” tulisnya.

Perkara itu diluahkan oleh pelakon filem Mistik itu menerusi beberapa hantaran di ruangan Instagram Stories.

Lantaran itu, Rita berharap agar perkara seperti ini dapat dihormati oleh semua pihak.

“Kalau setakat nak tulis dan kaitkan dengan orang lain, tak perlu. Mati nanti pun berbintikan nama mak. Ini fakta!,” ujarnya lagi.

Semalam, Rita meluahkan rasa berang apabila kejayaan anak sulungnya Airit Rayyan Rizqin, memecahkan beberapa rekod Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024 baru-baru ini dikaitkan dengan bekas suaminya yang juga merupakan bekas pemain bola sepak, Johor Darul Takzim iaitu Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Malah, Rita turut mempersoalkan siapakah gerangan ‘lagenda JDT’ yang dimaksud oleh sebuah portal sehingga perlu dikaitkan dengan anaknya itu.

Sekadar informasi, Airit Rayyan meraih pujian ramai apabila bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, dia juga hebat dalam bidang sukan apabila memecahkan rekod acara balapan Kejohanan Olahraga MSSD Sabak Bernam 2024.

Airit berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) kejohanan tersebut yang berusia 20 tahun.

Selain itu, Airit juga berjaya memecahkan rekod kejohanan sama menerusi acara 200m dengan catatan 23.81s.

Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan Aidil Zafuan pada 2008 namun, berpisah pada 2013.

Hasil perkongsian hidup tersebut mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Airit Rayyan dan Airit Qaqa Arjuna.

Sumber: Instagram Rita Rudaini

Published by
Aizam Manaf