Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat memaklumkan dirinya sudah hampir tiga bulan tidak berjumpa dan berhubung dengan adiknya yang juga merupakan penyanyi, Fyna Jebat.
Menurut Ayda, adiknya itu mungkin memerlukan tempoh bertenang selepas bercerai dengan bekas suami yang juga merupakan jurulatih bola sepak terkenal, Datuk Zainal Abidin Hassan.
“Saya pun dah lama tak hubungi dia sejak tiga bulan yang lalu. Dia menghilangkan diri. Mungkin ketika ini dia inginkan tempoh bertenang.
“Memang perangai dia sebegitu dan kami pun tak terkejut. Kami telefon dan hantar mesej pun tak berjawab.
“Beberapa bulan lepas, dia ada menghubungi saya tapi saya tak dapat jawab sebab sibuk jalani penggambaran. Saya minta dia hubungi saya semula tetapi dia hilang begitu sahaja,” katanya kepada MH.
Ibu kepada seorang cahaya berkata sedemikian ketika ditemui media di majlis pelancaran produk terbaharu, Aura White Beauty yang berlangsung di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Ayda juga tidak menolak mental Fyna sedikit terganggu disebabkan hal rumah tangganya itu.
“Kalau boleh, saya tak nak masuk campur dalam urusan peribadi dia. Kalau dia nak saya tolong dari segi kerjaya, saya tak kisah. Bila-bila masa dia boleh datang berjumpa saya.
“Dia pun tiada mengadu apa-apa. Saya pun tak tahu keadaan dia sama ada dia sedih atau tidak. Saya tak nafikan mungkin fikirannya agak terganggu. Dia pun tak biasa nak berhadapan dengan pihak media dan netizen.
“Mungkin ketika ini dia sedang cuba untuk melalui perkara ini. Namun, saya boleh tahu tentang tahap mentalnya ketika ini. Kalau sudah kritikal, dia akan cari saya. Kalau diam tu maknya dia masih okay.
“Bekas suaminya itu pun seorang yang terkenal. Dia tahu macam mana nak hadap perkara ini manakala adik saya pula sedang cuba menyesuaikan diri,” ulasnya lagi.
Sementara itu, Ayda akui keluarganya juga sedikit sebanyak terkesan dengan hal ini namun akan tetap menyokong apa sahaja keputusan Fyna.
“Sudah tentu keluarga agak terkesan terutama sekali ibu tapi nak buat macam mana? Ini jalan yang dia pilih. Kami sebagai keluarga memang kena terima apa yang dia pilih dan mahu. Asalkan dia okay.
“Saya harap agar perkara yang jadi ini adalah perkara terbaik untuk dia dan orang-orang di sekeliling dia yang terkesan sebelum ini,” akhirinya.
Terdahulu, Fyna Jebat mencuri tumpuan apabila dikatakan telah berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada Zainal pada Januari.
Ketika itu, Zainal masih berkahwin dengan isterinya, Datin Zalina Zaini dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Namun, perkahwinan yang dibina bersama Fyna difahamkan hanya bertahan selama empat bulan.
Perkhabaran mengenai penceraian mereka pula mula dihidu pihak media pada bulan Mei lalu.
Malah, tidak lama selepas itu, anak perempuan Zainal, Zahira Aisyah memaklumkan kedua-dua pasangan itu sudah bercerai awal Mei tahun ini.
Bagaimanapun, sehingga kini, kedua-dua belah pihak masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung status rumah tangga mereka itu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.