“Ini Peristiwa Penting, Babitkan Amanah Rakyat,” – Tamat Shooting Jam 6 Pagi, Eizlan Yusof Tetap Semangat Hari Penamaan Calon

Share

Meskipun baru sahaja menghabiskan sesi penggambaran pada jam enam pagi tadi, pelakon dan pengarah, Dato Sri Eizlan Yusof tetap tampak bersemangat di Hari Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam.

Eizlan yang juga Calon Parlimen Sabak Bernam mewakili GTA Parti Pejuang, akui walaupun perlu melunaskan tanggung jawab sebagai pelakon, namun peristiwa hari ini (Penamaan Calon) tidak boleh dianggap ringan.

“Kebetulan babak semalam adalah terakhir, jadi bolehlah saya fokus pada peristiwa hari ini yang juga penting kerana membabitkan amanah rakyat demi bangsa dan negara,” katanya.

Pada masa sama, Eizlan akui momen ini merupakan titik tolak baginya untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan seteruskan membawa suara rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Perasan saya hari ini bercampur baur, ada rasa berdebar namun masa sama teruja.

“Tetapi saya tidak mahulah terlalu teruja. Saya melihat langkah pertama ini satu tanggungjawab buat saya untuk membawa amanah rakyat ke peringkat lebih tinggi,” kongsinya lagi.

Lantaran itu, pelakon filem Impak Maksima ini berharap masyarakat di Parlimen Sabak Bernam dapat memberi peluang untuk dirinya menjalankan tugas.

Beliau tiba ke Pusat Penamaan Calon Sabak Bernam tepat jam 8.30 pagi, dilihat ceria diiringi isteri, Datin Sri Natasha Rosa Boudville, rakan-rakan dan penyokong.

Kertas pencalonan penamaan calon bagi Pejuang di bawah Eizlan diterima pada jam 9.05 pagi.

Eizlan bakal merebut kerusi P.092 yang turut ditandingi calon dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Syahsam Photography

Published by
Aizam Manaf