Selepas muncul dengan single Terus Mencintai dan Hatiku Milikmu, penyanyi Siti Nordiana kini cuba memilih untuk keluar dari zon selesa.

Masih berentak balada, tapi lagu Angkara yang dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music itu berbeza daripada kebanyakan lagu yang dirakam sebelum ini.

Menariknya, buat pertama kali juga Nana bekerjasama dengan komposer, Sharon Paul dan penulis lirik, Fedtri Yahya selain turut menampilkan dirinya sebagai penulis lirik bersama.

“Sebenarnya dari tahun lepas lagi kami berunding mengenai lagu ini. Kemudian pada Disember saya masuk studio rakaman. Diakui agak lama juga saya peram lagu ini. Sebab pertama kali dengar lagu ini adalah versi asal.

“Kemudian, Sharon ada membuat perubahan sedikit untuk versi rakaman. Tapi, apabila dengar versi itu, saya lebih suka mendengar versi asal. Jadi, kami ambil keputusan untuk merakamkan versi asal itu,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama itu, Nana yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey berkata komposer lagu Sampai Bila itu sudah lama menyatakan hasrat untuk berkolaborasi.

“Ketika dia mula perdengarkan lagu ini, saya terus jatuh cinta. Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk merakamkan lagu ini. Lagi pula, ketika itu saya memang sedang merancang untuk mencari material bagi single terbaru.

“Pendek kata, kerjasama kami ini pun secara menang-menang. Dia sudah lama ‘approach’ saya, tapi disebabkan jadual kerja yang padat, jadi ia belum dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, penghujung tahun lalu segalanya dipermudahkan.

“Cuma, kami ambil masa untuk melancarkan lagu ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ditambah pula syarikat dan 1711 Music mempunyai perancangan lain dari segi video muzik,” katanya.

IKLAN

Serentak dengan lagu itu, turut dilancarkan secara rasmi adalah video muzik penuh Angkara.

Umum mengetahui, video muzik Angkara diterbitkan dalam bentuk drama bersiri pendek yang mengandungi tiga episod sebelum video muzik penuh dipaparkan pada episod keempat, hari ini.

Episod pertama video muzik Angkara yang dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 3 Julai lalu sudah mencecah tontonan lebih 241,000.

Manakala episod kedua pada 8 Julai lalu mencecah lebih 181,000 tontonan selain berada dalam carta trending dikedudukan ke-46.

Selain itu, episod ketiga pada 13 Julai lalu pula sudah melebihi 134,000 tontonan. Episod ketiga ini juga trending di tangga ke-27.

IKLAN

Satu kejayaan buat video muzik penuh Angkara apabila sudah mencecah 75,000 tontonan dan berada pada kedudukan ke-24 carta trending selepas 13 jam dilancarkan secara rasmi semalam.

Malah, lagu itu juga berada dikedudukan teratas carta iTunes.

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka strategi syarikat rakaman untuk menerbitkan mini siri drama ini bagi video muzik Angkara mendapat sambutan. Bukan apa, ini pertama kali sepanjang kerjaya saya buat perkara ini.

“Mungkin juga sebab peminat sudah lama tidak melihat saya berlakon, jadi drama pendek ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka. Apa pun, terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan video muzik ini.

“Paling penting, sokongan berterusan daripada peminat untuk menyaksikan setiap episod amat saya hargai. Saya berharap video muzik penuh lagu ini tidak akan mengecewakan semua. Saya dan pasukan sudah cuba berikan yang terbaik,” katanya.

IKLAN

Sebagai kejutan buat peminat, pihak syarikat rakaman 1711 Music membuat rakaman tambahan pada babak akhir video muzik itu.

Apatah lagi sebelum ini ramai yang menimbulkan persoalan pada episod pertama dan kedua siapa punca kepada tindakan suami Nana dalam cerita itu lakonan Fikry Ibrahim yang kantoi.

“Idea ini pun timbul pada saat akhir iaitu empat hari sebelum video muzik ini dilancarkan. Melihatkan sambutan yang diberikan selain terlalu banyak persoalan yang timbul, jadi pihak syarikat rakaman mencadangkan sedikit tambahan babak.

“Bagaimanapun, kemunculan pelakon Alvin Chong ini bukan jawapan kepada persoalan. Ingin tahu bagaimana kesudahannya kena tunggu. Saya sendiri tidak tahu apa kejutan yang akan dibuat selepas ini,” katanya.

Video muzik rasmi lagu ini boleh terus ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Sementara lagu Angkara sudah boleh distrim di semua platform digital muzik seperti iTunes, JOOX, Spotify dan banyak lagi.

Sekian

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI