Pelakon Siti Saleha mengesahkan dia sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Ahmad Lutfi Azhar.
Menurut bintang berusia 31 tahun ini, perkara itu dilakukan atas kebenaran mahkamah.
“Ya, saya failkan kes cerai atas kebenaran mahkamah,” katanya memetika Harian Metro ketika dihubungi menerusi WhatsApp, pada Rabu.
Bagaimanapun, dia yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, bagi sebutan kes perceraiannya pada Rabu tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Lebih lanjut saya tak nak komen,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan prosiding yang dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim itu berlangsung kira-kira jam 10 pagi itu turut dihadiri Ahmad Lutfi.
Berita keretakan rumah tangga pasangan itu agak mengejutkan apabila Saleha sebelum ini tidak pernah berkongsi mengenai masalah peribadi secara terbuka di media sosial mahupun media.
Hasil tinjauan, kali terakhir pelakon itu memuat naik gambar dia bersama suami adalah pada 24 Mac lalu, saat meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Ahmad Lutfi yang ke-35.
Saleha dan Ahmad Lutfi melangsungkan pernikahan pada 28 Julai 2017 dan mereka belum dikurniakan cahaya mata.
Sumber: Harian Metro