Gaya Hidup

Ini Satu ‘Amanah’ Perlu Dijaga! Nabila Razali Enggan Toleh Ke Belakang Lagi?

Share

Namanya dahulu pernah menjadi tular gara-gara video menangis ditinggalkan kekasih yang dimuat turun memberi impak cukup luar biasa pada dirinya. Namun, sebenarnya ia adalah gimik untuk pelancaran video lagu Pematah Hati milik bekas bintang Akademi Fantasia, Nur Nabila Mohd Razali.

Kini Nabila sudah tidak sendiri lagi, apabila telah menjadi suri hati kepada ahli perniagaan Nik Iruwan pada 18  November tahun lalu. Malah,  penyanyi dan pelakon yang sememangnya bijak bergaya dan cukup stailo meski mengenakan hijab ini terlihat semakin manis sejak bergelar isteri.

Nabila Pernah Alami Fasa Hati ‘Goyang’

Tapi siapa sangka sebelum ini, hatinya pernah ‘goyang’ ketika mula-mula berniat untuk berhijab.

Tika pertama kali menyatakan hasrat berhijab pada 2002, Nabila akui cukup teruja. Namun bukan semudah itu untuk terus kekal menjaga aurahnya. Pelbagai rintangan perlu dilaluinya untuk menetapkan hati dalam menjaga penampian sebagai gadis Muslimah.

“Sejak tahun 2012, iaitu setahun sebelum saya menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia (AF). Itupun sempena Maal Hijrah pada tahun tersebut kerana pada pengamatan saya, rasa hormat rakan-rakan sekeliling amat berbeza antara kita berhijab dengan tidak.

“Sebelum berhijab, mereka terlalu senang untuk dekat dengan saya dan tidak terlalu menjaga batas pergaulan. Bermula pada detik itu, saya merasakan mahu buka buku baru. Terfikir juga sampai bila mahu berpenampilan tanpa hijab. Umur pula semakin meningkat. Walaupun masih belum sempurna, saya yakin ia merupakan satu langkah untuk mula menjadi manusia yang lebih baik.

“Rakan-rakan yang rapat dengan saya memang sudah lama menggalakkan saya untuk berhijab. Ada juga sindiran-sindiran manja daripada mereka. Apabila difikirkan semula, apa salahnya untuk saya menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslimah. Apa yang saya dapat lihat, cara mereka bergaul dengan saya juga agak berbeza daripada sebelumnya.

“Kadang-kadang ada juga terbawa-bawa perangai lama, namun mereka memberi teguran dan menasihati saya. Ibu dan ayah pula jenis tidak kisah tetapi mereka mengingatkan saya untuk terus istiqomah dan tidak hanya separuh jalan. Itu merupakan satu amanah untuk dijaga dan tiada alasan untuk toleh ke belakang semula. Selagi mana boleh dijaga, kita perlu jaga.

Akui Istiqamah Sukar Untuk Digapai

“Bagi saya, untuk kekal istiqamah adalah satu perkara yang amat sukar. Lebih-lebih lagi jika dikelilingi rakan-rakan yang ‘hot’, kadang-kadang hati akan goyang juga. Walau bagaimanapun, apa-apa dugaan yang mendatang ia sebenarnya berbalik kepada hati sendiri. Hati perlu kuat dan kena berbalik semula kepada niat kita untuk berhijab. Apabila memulakan langkah untuk berhijab, rasa malu terbit sedikit demi sedikit untuk meninggalkan amalan wajib yang lain.

“Sewaktu berada di Akademi Fantasia, rasa tergugat jugalah kena sentiasa berjaga-jaga dalam berpakaian dan bergaul. Dalam bab berfesyen, saya rasa sudah tiada masalah sekarang kerana sudah ramai pereka-pereka fesyen yang sudah mula menghasilkan busana-busana yang sesuai buat mereka yang berhijab. Walaupun berhijab, masih boleh mengikut trend.

Nabila yang kini semakin sibuk menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dan dalam masa sama menguruskan keluarga sebagai seorang isteri. Dia juga turut menyimpan harapan untuk menjadi insan lebih baik untuk dunia dan akhirat.

Sumber Foto: Instagram Nabila Razali

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
Haifa Nasir