Meraikan negeri kelahiran dan masyarakat setempat, itu yang menggembirakan hati selebriti Datuk Fizz Fairuz apabila dia dapat kembali ke Pahang sempena Moh Karnival Makmur yang diadakan di daerah Bera sejak semalam sehingga Ahad ini.
Karnival yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti negeri dengan jolokan Tok Gajah itu begitu dekat di hatinya sementelah dia dapat bersama-sama dengan masyarakat sekitar melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka.
“Ini yang seronoknya apabila dapat bersama-sama dengan orang kampung dan melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka. Sebab itu bila dijemput menjadi sebahagian daripada selebriti terlibat, saya terima dengan hati yang terbuka.
“Ini juga masa untuk saya berterima kasih kepada masyarakat Bera dan kawasan sekitar. Mereka banyak membantu dan menyokong kerjaya seni saya sejak dahulu lagi. Saya tunggu kehadiran mereka,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini lagi.
Menariknya, Moh Karnival Makmur yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang disokong oleh Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan termasuklah dan beberapa pihak lain.
Selain itu pihak Tourism Pahang juga giat membantu dari segi mempromosikan karnival dan negeri ke mata dunia.
Tambah Fizz lagi, ini juga menjadi agenda penting baginya untuk sama-sama mempromosikan pelbagai destinasi menarik di Pahang yang kaya dengan khazanah flora dan fauna serta warisan lain.
“Memang benar, Pahang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah dan destinasi menarik, ini masa untuk kita sama-sama melawat dan memberikan sokongan padu kepada agenda murni ini.
“Sudah tentu saya mahu seluruh penduduk kawasan sekitar Bera dan Malaysia amnya datang ke Moh Karnival Makmur kali ini untuk kita mengenali dengan lebih dekat daerah istimewa ini,” kata anak jadi Raub ini lagi.
Selain Fizz, antara artis yang terlibat sama termasuklah kumpulan UNIC, PU Lokman, Maulana Johari dan Kumpulan Nur Al Badar yang terlibat sempena malam Bera Berselawat dan Bermunajat.
Tidak ketinggalan, konsert mini turut diadakan di Dataran Kerayong membariskan penyanyi popular tanah air termasuklah Zamani Slam, Baggio Damasutra dan Shafie Rio yang dihoskan oleh Kieran dan Jue Aziz pada Sabtu.
Kali ini, Moh Karnival Makmur dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi pada Sabtu selain pelbagai aktiviti yang sudah diatur khusus untuk pengunjung termasuklah pembukaan kaunter agensi kerajaan dan booth Institut Jantung Negara.
“Pelbagai aktiviti diatur oleh pihak penganjur untuk pengunjung. Saya berharap penduduk tidak melepaskan peluang untuk sama-sama terlibat dalam karnival ini.
“Ramai juga rakan-rakan selebriti berniaga. Apa kata kita bertemu dan sama-sama beramah mesra selain dapat beramah mesra dengan pemimpin setempat. Ini masa untuk kita menjalinkan ukhwah dan kerjasama,” tambah Fizz lagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini