Ibu kepada kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang dipercayai dilarikan beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan petang Selasa, Zahasnah Mohd Zain, 75, akui hatinya luluh ketika melihat anak diheret di depan matanya.
Katanya lagi, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati ketika mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak diketahui,” katanya, petik Harian Metro.
Zahasnah menambah, sehingga kini mereka sekeluarga masih masih trauma dengan apa yang berlaku dan terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta tolong ketika diheret sekumpulan lelaki itu.
“Makcik tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan sama ada mahu meminta wang tebusan ke apa.
“Makcik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak mendapat sebarang khabar berita.
“Makcik hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, pada Rabu.
Menceritakan kejadian yang berlaku jam 5.10 petang itu, Zahasnah berkata, dia baru selesai solat Asar sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertanyakan anaknya.
“Suami terus memanggil anak yang ketika itu berada di dapur dan secara tiba-tiba Rosnazirah diheret tanpa sempat memakai selipar atau tudung.
“Pakcik (suami) sempat bergelut beberapa minit walaupun lelaki itu mengeluarkan pisau, namun pakcik terpaksa mengalah sebaik lelaki itu mengeluarkan pistol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Ketika itu ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak Rosnazirah yang menangis meminta pertolongan, namun tiada siapa yang berani mengenangkan lelaki itu mempunyai pistol.
“Ketika kejadian, terdapat lima lelaki semuanya iaitu seorang menunggang motosikal manakala empat lagi menaiki kereta.
“Sebelum kejadian saya perasan sebuah motosikal lalu lalang di kawasan rumah, mungkin dia datang memantau,” katanya.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd Syarafi, 26, berharap kakaknya ditemui selamat dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
Katanya, kakaknya bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan dia serta keluarga tidak pernah dimaklumkan sama ada kakak ada berhutang atau sebaliknya.
“Kami sekeluarga akan mengadakan solat hajat dan besar harapan kami kakak dibebaskan dan pulang dengan selamat,” katanya lagi.
Terdahulu, Dalam kejadian tersebut, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dibuat dan turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: Harian Metro