Insiden Kamal Adli Diserang Di Singapura, Hannah Delisha Enggan Komen; “Melibatkan Takdir, Kita Tak Boleh Buat Apa.”

Share

Pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha enggan memberikan sebarang komen lanjut berhubung kes serangan yang berlaku terhadap pelakon Kamal Adli pada minggu lalu.

Menurut Hannah atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch, 27, kejadian serangan itu tidak seharusnya ‘disensasikan’ dengan merujuk kepada mana-mana negara.

Malah, pelakon berusia 27 tahun itu berkata kemalangan yang terjadi itu merupakan takdir yang sudah tertulis.

“Bila melibatkan soal keselamatan.. ia melibatkan takdir juga, kita tak tahu kan.

“Sekarang ni, kalau saya naik kapal terbang ke, kalau memang ditakdirkan berlaku kemalangan ke, ia akan terjadi juga.

“Jadi bukan disebabkan anda berada di Singapura atau di Malaysia.. perkara itu melibatkan takdir, kita tak boleh buat apa.

“Bagi saya, itu perkara yang melibatkan peribadi.. sebab saya tak tahu apa yang terjadi sebenarnya kerana sibuk dengan kerja saya,” katanya kepada MH.

Hannah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk AEDOS Serum jenama Elegant yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada malam Jumaat.

Terdahulu, Kamal telah diserang menggunakan cota besi oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang terlibat dalam jualan Mega Raya Sale di Singapore Expo pada 12 Mac lalu.

Susulan serangan itu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan badan.

Pada Selasa lalu, suspek telah diperintahkan oleh mahkamah di Singapura bagi menjalani ujian psikiatri selama dua minggu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar